KUALA LUMPUR: Usaha pelopor muzik hip hop negara, Joe Flizzow memartabatkan genre irama itu di Asia Tenggara dipuji artis antarabangsa, Snoop Dogg.

Legenda hip hop itu memuji Joe Flizzow dalam sesi virtual melalui aplikasi Zoom yang dikendalikan syarikat rakaman Def Jams Southeast Asia (SEA), baru-baru ini.

Snoop Dogg atau nama penuh, Calvin Cordozar Broadus Jr memuji inisiatif Joe Flizzow melancarkan projek 16 Baris bagi mencari bakat baharu hip hop di Asia Tenggara.

“Anda melakukan (usaha memperkasakan hip hop dan mencari bakat baharu) dengan baik… Saya sukakannya.

Snoop Dogg memuji Joe Flizzow dalam sesi virtual melalui aplikasi Zoom yang dikendalikan syarikat rakaman Def Jams SEA, baru-baru ini. Foto Ihsan Joe Flizzow
Snoop Dogg memuji Joe Flizzow dalam sesi virtual melalui aplikasi Zoom yang dikendalikan syarikat rakaman Def Jams SEA, baru-baru ini. Foto Ihsan Joe Flizzow

“Inilah yang saya selalu perkatakan dan kamu melakukannya,” katanya pada sesi Zoom itu.

Joe Flizzow yang menjadi artis naungan Def Jam Recordings melalui penubuhan Def Jam SEA, turut berkongsi rakaman perbualan itu di Instagram Story (IGs).

Pada sesi itu, Snoop Dogg berjanji menghadiahkan rantai kepada Joe Flizzow dan rakan-rakan artis yang dinaungi Def Jam SEA dan mengaku tidak sabar berjumpa mereka.

Joe Flizzow yang popular dengan lagu Apa Khabar itu bangga dapat bertemu Snoop Dogg biarpun secara virtual dan berharap dapat menjalinkan kerjasama, suatu hari nanti.

“Sesi Zoom yang sangat menakjubkan bersama legenda Snoop Dogg. Terima kasih atas kata-kata pembakar semangat… Saya akan terus mencipta lagi banyak sejarah,” katanya.

Sebelum ini, Joe Flizzow pernah berpeluang berduet dengan ikon hip hop antarabangsa, Warren G.

Januari lalu, single Ciao yang diterbitkan komposer dari Singapura, Alyph turut menyaksikan Joe Flizzow berkolaborasi dengan artis hip hop terkenal Korea Selatan, Jay Park dan MK dari kumpulan K-Clique.

Selain Joe Flizzow dari Malaysia, Def Jam SEA membariskan nama-nama besar seperti Daboyway dari Thailand, Yung Raja, Fariz Jabba dan ALYPH dari Singapura serta A Nayaka dari Indonesia.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *