BUKIT JALIL: Pelakon Erysha Emyra mengalami serangan panik ketika menghadiri majlis akad nikah sahabat baiknya selepas teringatkan arwah bapanya, Allahyarham Datuk Zakaria Abdul Rahman.
Erysha atau nama sebenarnya Nur Erysha Emyra Zakaria, 26, berkata, pengalaman menghadiri majlis akad nikah sahabat baiknya yang juga personaliti media sosial, Sofea Shra, menjadi detik sukar buatnya kerana menyedari dirinya tidak berpeluang melalui pengalaman serupa bersama arwah bapanya.
Katanya, majlis yang pada awalnya mahu dihadiri untuk meraikan hari bahagia sahabat bertukar menjadi momen mengundang kesedihan apabila melihat Sofea dinikahkan oleh bapanya sendiri.
“Pada hari itu, saya menghadiri majlis perkahwinan kawan baik. Pada mulanya, saya ingat mahu pergi untuk berseronok sahaja. Namun, itu majlis akad nikah pertama yang saya hadiri selepas pemergian arwah.
“Tiba-tiba, saya mengalami serangan panik. Saya rasa seperti tidak boleh bernafas, jadi saya keluar dari dewan seketika untuk menenangkan diri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharunya, Bayangan Dendam, di Aurora Place, di sini, baru-baru ini.
Erysha berkata, dia turut berasa serba salah kerana kesedihan yang dialami seolah-olah boleh mengganggu suasana hari bahagia sahabatnya, apatah lagi dia tidak mahu perhatian tetamu beralih kepadanya.
“Saya agak lama berada di luar. Saya rasa bersalah juga kerana itu hari bahagia kawan baik saya dan saya tidak mahu perhatian semua orang beralih kepada saya pula,” katanya.
Pelakon itu berkata, perasaan sebak sukar dibendung apabila menyedari dirinya tidak akan berpeluang menerima pengalaman diijabkabulkan oleh bapa sendiri selepas Allahyarham meninggal dunia pada Mei lalu.
“Keadaan itu berlaku apabila saya melihat kawan baik dapat dinikahkan oleh bapanya sendiri, sedangkan saya tidak berpeluang melalui pengalaman itu.
“Selepas keluar dari dewan, saya mengambil masa untuk menenangkan diri. Saya berkali-kali mengingatkan diri bahawa itu hari bahagia kawan saya.
“Beberapa rakan turut membantu menenangkan saya. Apabila sudah berasa lebih baik, barulah saya masuk semula ke dewan,” katanya.
Mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehilangan insan tersayang, Erysha berkata, dia berusaha menguruskan kesedihan sebaik mungkin, meskipun ada kalanya emosi sukar dikawal apabila kenangan bersama arwah kembali bermain di fikiran.
Katanya, keadaan emosinya kini semakin baik, namun kesedihan itu masih hadir berselang-seli dan ada masanya dia berasa sukar untuk membicarakan kehilangan berkenaan.
“Alhamdulillah, sekarang saya sudah okey. Cuma, ada masanya saya masih sakit dan ada kalanya emosi saya sudah stabil untuk bercakap mengenai perkara itu. Namun, perasaan itu memang datang dan pergi.
“Entahlah, kesedihan ini sesuatu yang pelik. Ada kalanya kita okey, ada kalanya kita tidak okey. Saya cuba melalui proses ini sebaik mungkin dan tidak berkongsi terlalu banyak mengenainya di media sosial,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Erysha membintangi drama bersiri 12 episod, Bayangan Dendam, yang mengangkat kisah persahabatan, pengkhianatan dan kematian mengejut membabitkan watak Ariana serta Farhan.
Drama berkenaan turut dibintangi Sophia Albarakbah, Nadhir Nasar, Emelda Rosemila, Yusuf Bahrin dan Mia Nasir, serta ditayangkan menerusi platform penstriman Viu.