Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Rizky Febian mendedahkan sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada isterinya Mahalini untuk melancarkan semula lagu hits Sisa Rasa nyanyian asal penyanyi wanita itu.
Rizky, 28, berkata dia kini dalam proses memujuk Mahalini bagi mendapatkan keizinan untuk melancarkan lagu berkenaan dalam versi penceritaan tersendiri.
“Saya baharu sahaja membuat hantaran video di TikTok untuk meminta bantuan peminat memujuknya. Kata Mahalini, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi.
“Tetapi doakan sahaja, semoga lagu Sisa Rasa versi saya ini diberikan keizinan untuk dilancarkan kelak,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur, semalam.Advertisement
Rizky berkata, isu berkenaan mula menarik perhatian ramai selepas lagu berkenaan yang dinyanyikannya menjadi tular di media sosial, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat.
Mengulas mengenai reaksi peminat di Malaysia, penyanyi lagu Alamak itu meluahkan rasa terharu apabila maklum balas yang diterima sangat luar biasa.
“Banyak sekali orang-orang di Malaysia yang memberikan sokongan dan bertanya bagaimana caranya untuk saya membawakan lagu ini di sini. Pasaran di Kuala Lumpur memang antara yang paling besar buat saya.
“Insya-Allah, jika mendapat izin daripada isteri, saya memang berhasrat untuk membawakan lagu Sisa Rasa ini buat semua peminat di sini,” katanya.
Rizky dijadualkan bakal beraksi di Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur pada 29 November ini.