Kuala Lumpur: Penyanyi kelahiran Singapura, Iskandar Ismail menafikan perjalanan karier seninya bergerak perlahan berikutan kelibatnya kurang kelihatan dalam industri muzik tempatan.
Menurut Iskandar, 48, jadual seni dan persembahannya sentiasa padat di negara asalnya, malah aktif merancang pelbagai kandungan digital bagi memastikan namanya kekal relevan dalam industri.
“Saya tidak merasa sangat perkara itu (kerjaya seni bergerak perlahan) kerana di Singapura saya menerima banyak tawaran persembahan. Walaupun di sini (Malaysia) agak kurang, tetapi saya memang sibuk di sana (Singapura).
“Pada masa sama, apabila kembali ke sini (Malaysia), ada beberapa perkara yang saya lakukan seperti menghasilkan lagu ‘cover’ serta kandungan untuk platform digital dan media sosial.Advertisement
“Memang ada kerja yang saya lakukan. Kita terpaksa dan harus kekal relevan supaya orang tidak melupakan kita, itu yang paling penting,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Ditanya mengenai cabaran untuk kekal relevan, juara program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ke-12 ini tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang sukar, sebaliknya hanya berasa penat kerana perlu berusaha tanpa henti.
“Rasa susah itu tidak, cuma rasa penat itu ada kerana kita kena sentiasa meneruskan perjalanan. Kita tidak boleh berhenti atau berehat, sebaliknya perlu teruskan apa yang kita lakukan.
“Jika kita tidak relevan, sukar untuk kita mendapatkan tawaran show. Jadi, kita kena bekerja keras sedikit,” katanya lagi.
Mengulas mengenai keupayaannya menyesuaikan diri dengan persaingan daripada penyanyi muda serta kepesatan era digital, Iskandar berkata, dia sentiasa mengikut peredaran dan trend semasa.
“Saya boleh menyesuaikan diri, tetapi kita kena ikut cara yang disarankan sekarang dan mengikut gaya terkini.
“Kadang-kadang terkejut juga apabila bertemu artis baharu, rasa macam tidak pernah nampak atau kenal, tiba-tiba sudah menjadi artis. Semuanya berlaku dengan sangat pantas sekarang.
“Jadi, kita kena tingkatkan diri, sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini serta mengikut trend semasa. Perkara itu sememangnya wajib dilakukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Iskandar baru sahaja melancarkan lagu terbaharu berjudul Aku Salah ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso pada Ogos lalu.