Kuala Lumpur: Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit (3P Muzik) memberi sokongan kepada Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez yang meminta penjelasan daripada tiga badan kutipan royalti berhubung tindakan undang-undang terhadap kerajaan.
Tiga badan berkenaan iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP), Recording Performers Malaysia (RPM) dan Public Performance Malaysia (PPM) mengambil tindakan mahkamah bagi mengetepikan garis panduan badan kutipan royalti dilaksanakan.
Presiden 3P Aris Ariwatan berkata, pemimpin badan kutipan royalti itu harus menjelaskan tindakan mahkamah untuk mengetepikan garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Menurutnya, tindakan undang-undang tidak sepatutnya dilakukan apatah lagi oleh dua badan yang diterajui oleh rakan industri.Advertisement
“Sudah berpuluh-puluh tahun kita menghadapi masalah ketelusan dalam soal royalti, tetapi tidak dapat buat apa, selain membuat aduan kepada kerajaan.
“Akhirnya kerajaan bertindak dan keluarkan garis panduan untuk mengawal selia badan-badan kutipan supaya mereka menjalankan operasi dengan lebih telus dan profesional.
“Malangnya, sebelum garis panduan dilaksanakan, tiga badan ini mengambil tindakan mahkamah menyebabkan ia tidak dapat dikuatkuasakan sehingga urusan mahkamah diselesaikan yang mungkin ambil masa beberapa tahun lagi” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Penyanyi lagu Lamunan Terhenti ini berkata, perkara berkenaan amat dikesali kerana individu terbabit sepatutnya memberi sokongan kepada rakan-rakan artis dengan menyokong pelaksanaan garis panduan itu.
Menurutnya, ini kerana ia akan memberi perlindungan kepada hak artis selain menentukan bahawa suara mereka dalam soal royalti muzik akan diberi perhatian.
Katanya, berikutan itu beliau berharap pihak terbabit dapat tampil untuk memberi penjelasan mengapa mereka melakukan tindakan sedemikian.
“Apa yang kami lihat ialah kerajaan telah mengkaji proses kutipan dengan begitu dalam selama lima tahun yang lepas sebelum garis panduan ini disediakan dan dilancarkan.
“MyIpo bekerja kuat dengan mengadakan beberapa libat urus dan kajian terhadap sistem kutipan sedia ada sehingga menetapkan satu garis panduan perlu diadakan untuk ketelusan dan akauntabiliti dalam proses kutipan dan agihan royalti.
“Semua pihak telah telah dipanggil untuk memberi pandangan dalam beberapa sesi, termasuk ketiga-tiga badan yang mengambil tindakan mahkamah tersebut,” katanya lagi.
Menurutnya, semua usaha kini menjadi sia-sia dengan tindakan mahkamah kerana ia tidak mencerminkan kehendak majoriti artis dan komposer yang sekian lama menunggu pelaksanaan garis panduan ini.
Katanya, pihaknya berharap agensi berkaitan seperti Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Sumber Manusia dan lain-lain akan bersolidariti dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam perkara ini.
“Kami mengharapkan sokongan semua pihak termasuk kerajaan untuk menentukan bahawa tindakan mahkamah ini tidak akan berjaya dalam menafikan hak artis dan komposer di mana berharap akan sentiasa diberi perlindungan yang sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, Freddie menggesa tiga badan kutipan royalti itu tampil memberi penjelasan berhubung tindakan undang-undang terhadap kerajaan berhubung garis panduan berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan usaha memperkukuh ketelusan kutipan dan pengagihan royalti muzik oleh organisasi pengurusan kolektif (CMO) gagal dikuat kuasakan bermula Januari lalu.
Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu Parlimen bahawa garis panduan berkenaan tidak dapat dilaksanakan kerana tindakan mahkamah oleh tiga antara lima badan yang terbabit dalam kutipan royalti.