Petaling Jaya: Pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah mengakui lebih selesa tidak membalas komen negatif yang ditulis netizen di media sosial.
Nadia atau nama sebenar, Nadia Aqilah Bajuri berkata, dia juga tidak mahu hatinya terguris apabila membaca komen negatif sekali gus mahu menjaga kesihatan mentalnya.
“Memanglah komen negatif mengguris perasaan. Ada kalanya, saya sudah menaip untuk membalas kecaman netizen, tetapi akhirnya mengambil pendekatan untuk tidak berbuat demikian.
“Kalau saya balas komen negatif, 10 tahun akan datang, anak-anak saya pula yang akan membaca apa yang ditulis bila mereka sudah dewasa kelak.
“Sebab itu, saya tidak melayan komen negatif walaupun berasa geram dengan kecaman yang ditujukan pada saya,” katanya ketika ditemui pada sesi temubual bersama pelakon Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical, Sdn Bhd, di sini.
Nadia yang melakonkan watak Bayan dalam pementasan berkenaan berkata, dia tidak mampu mengawal netizen untuk melontarkan pandangan di media sosial.
“Reaksi netizen, sama ada baik atau buruk, saya tak mampu nak kawal. Kalau baik, Alhamdulillah, tapi kalau sebaliknya, saya reda.
“Dulu, komen negatif itu pernah membuatkan saya murung. Sampaikan saya nasihatkan sahabat saya, Mimi Fly untuk tidak membaca komen netizen di media sosial.
“Bayangkan, satu komen negatif mampu menjadikan semangat kita luntur. Padahal komen itu cuma secebis,” katanya.