Kuala Lumpur : Baru sebulan berniaga makanan di tapak niaga Rimba Ampang (Food Hub), Bukit Antarabangsa, pelakon Shahriza Mahmud terpaksa mencari lokasi baharu serta merta.
Shahriza, 60, berkata, dia dan semua peniaga terkejut apabila pada 5 Oktober lalu, menerima notis agar keluar dari tapak terbabit.
“Saya baru nak baik demam, jadi terkedu dan sangat kecewa. Tak tahu nak cakap apa. Modal pun belum dapat balik, kios dah buat cantik-cantik.
“Barang-barang pun banyak dibeli secara hutang, tiba-tiba nasib malang macam ini pula,” katanya dalam nada sedih kepada Harian Metro.
Ditanya masalah yang berlaku, Shahriza berkata, ia membabitkan isu teknikal diantara anak pemilik tanah yang diberikan amanah menguruskan lokasi itu dengan bapanya.
“Saya tak nak masuk campur. Ada baiknya saya terus usaha untuk mencari rezeki. Saya akui perlu ambil masa juga untuk bertenang kerana menyangka lokasi ini tempat saya boleh cari rezeki.
“Bermula 1 November nanti saya menumpang sewa dulu di Medan Selera Taman Melawati. Pada 26 Oktober saya nak angkut barang ke Melawati dan ia bukan proses mudah.
“Penat belum habis lagi set up di Rimba Ampang itu dan kena punggah semula semua barang-barang untuk dibawa ke lokasi baru,” katanya.
Shahriza yang berniaga Asam Pedas Cendana akan menjalankan perniagaan di No B35, Lorong Selangor, Medan Selera Taman Melawati, bermula jam 11 pagi hingga 3 petang.
Terdahulu pelakon popular siri Pendekar era 1990-an ini berkata, dia berhempas pulas mencari modal untuk memulakan perniagaan ini dengan sewa RM1,500 sebulan.
Dia juga meminjam wang daripada ayahnya dan membayar semula secara bulanan. Pada masa sama, dia menggunakan SPayLater untuk membeli barangan di Shopee.
Shahriza berkata, perniagaannya bermula secara berhutang dengan Shopee, kemudian dia mencari wang dan membuat bayaran secara bulanan.
Shahriza kini bergerak menggunakan tongkat dan bantuan suaminya selepas menghidap slip disc hingga menghimpit urat saraf.
Selain berniaga, dia mengharapkan tawaran berlakon sebagai pendapatan utama bagi menampung kehidupan.