Shah Alam: Pengarah, pelakon dan penerbit, Megat Sharizal Mohamed Yusof, 48, menyifatkan pendidikan adalah pelaburan masa depan yang penting walaupun seseorang itu sudah mempunyai kerjaya tetap.

Megat Sharizal berkata, dia membuat keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang seni yang diceburinya sebagai persediaan masa hadapan agar dapat disumbangkan kembali kepada masyarakat.

“Dalam masa bekerja ini, saya memerlukan pendidikan rasmi dalam bidang seni yang saya sedang kerjakan sekarang untuk menimba ilmu dengan lebih mendalam.

“Ilmu ini akan digunakan pada masa hadapan, dan mungkin saya boleh kongsikan apa yang saya pelajari untuk generasi akan datang,” katanya.

Megat Syarizal berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-105, di sini, baru-baru ini.

Beliau menerima Anugerah Sarjana Cemerlang bagi program Ijazah Sarjana Industri Budaya Kreatif di Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Megat Sharizal berkata, dia kini dalam proses menyiapkan filem kedua, Melayar terbitan Luncai Emas milik Datuk M Nasir yang bakal ditayangkan, tahun depan.

“Alhamdulillah, saya masih aktif berlakon dan menulis skrip. Apa pun, saya ingin nasihatkan anak muda dan pengamal seni agar sentiasa menghargai ilmu serta tidak memandang rendah terhadap mana-mana bidang kerjaya.

“Jangan memandang rendah terhadap bidang lain kerana semua kerjaya itu penting dalam menyumbang impak kepada ekonomi dan negara. Kita harus bersama-sama menaikkan dan meningkatkan apresiasi seni tanah air,” katanya.

Megat Sharizal yang sudah berkecimpung kira-kira dua dekad dalam industri seni sejak 2003, turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Universiti Multimedia (MMU).

Antara filem pernah dibintangi Megat Sharizal sebagai pelakon ialah 1957: Hati Malaya, Jarum Halus, Supersquad The Movie, Terbaik Dari Langit, Rembat, Bingit, Hanyut, Shadowplay, Geran dan Pusaka.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *