Kuala Lumpur : Konsert Kelate KL 2026 yang dianjurkan Natriya Enterprise, dengan kerjasama Ikarl Project serta sokongan Irama Entertainment yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos ini ditangguhkan kepada satu tarikh yang baharu.

Menurut kenyataan rasmi berkenaan, keputusan itu dibuat atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan serta memerlukan pertimbangan dan penyelarasan lanjut bagi memastikan keseluruhan perjalanan acara dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Pihak penganjur turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul kepada peminat yang sudah membuat perancangan awal, selain amat menghargai kesabaran, pemahaman serta sokongan berterusan daripada semua pihak.

Dalam pada itu, tarikh baharu konsert berkenaan akan diumumkan selepas segala proses penyelarasan berkaitan dimuktamadkan melalui saluran komunikasi rasmi penganjur.

Bagi pemegang tiket yang sudah membuat pembelian menerusi platform Ilasso, proses pemulangan wang akan disediakan.

Maklumat lanjut berhubung kaedah serta tempoh pemulangan wang akan diumumkan dalam masa terdekat, manakala pemegang tiket dinasihatkan supaya menyimpan bukti pembelian, nombor pesanan dan maklumat tiket masing-masing bagi melancarkan proses terbabit.

Konsert Kelate KL 2026 di Zepp Kuala Lumpur itu diwujudkan sebagai platform untuk meraikan muzik, budaya dan identiti Kelantan di ibu negara berteraskan semangat ‘Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate’.

Konsep konsert itu turut mengetengahkan elemen warisan Kelantan termasuk Dikir Barat dan Wayang Kulit.

Dalam pada itu, pihak penganjur percaya penangguhan ini adalah langkah terbaik bagi memastikan segala perancangan dapat disusun semula dengan lebih rapi sebelum acara diteruskan pada tarikh baharu.

Natriya Enterprise bersama Ikarl Project dan Irama Entertainment turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peminat, rakan strategik, penaja, rakan media, pihak venue, pasukan produksi serta semua pihak yang memberikan sokongan.

Penghargaan khusus turut diberikan kepada Sony Music Malaysia dan Sentuhan Records selaku Rakan Strategik, serta Molek FM sebagai Radio Rasmi.

Pihak penganjur berharap semua pihak akan terus bersama-sama menantikan pengumuman tarikh baharu konsert itu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *