Kuala Lumpur : Menyimpan memori berambut panjang selama lebih empat dekad, penyanyi, Jatt Ali, 70, kini selesa tampil dengan imej ‘botak’ selepas menunaikan ibadah umrah pada 2020.

Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali, 70, berkata, dia tidak berhasrat untuk menyimpan semula rambut panjangnya kerana sudah selesa dengan imejnya itu.

“Sejak saya balik umrah pada 2020, memang saya sudah tidak mahu simpan rambut panjang. Rasa selesa dan ringan. Saya tidak perlu fikir tentang syampu atau conditioner (perapi rambut).

“Lebih-lebih lagi rambut saya jenis kerinting, jadi agak susah mahu jaga. Kadang-kadang timbul masalah kelemumur, jadi saya putuskan untuk botakkan sahaja rambut saya. Jadi bila tiada rambut, semuanya jadi senang,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.Advertisement

Berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya setakat ini, penyanyi yang terkenal dengan sikap ceria ini turut bersyukur kerana tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik, selain dipantau rapi oleh isteri tercinta.

“Alhamdulillah, hidup ini kena ‘happy-happy’ selalu, jangan fikir stres sangat. Saya dah pergi buat pemeriksaan doktor, bacaan tahap gula, kolesterol dan yang paling penting buah pinggang saya semuanya okay.

“Cuma sekarang isteri ada jaga diet saya. Saya kurangkan makan nasi dan makanan manis. Umur saya pun dah masuk 70-an, bahaya kalau tidak jaga kerana pelbagai penyakit boleh datang,” katanya lagi.

Tambah Jatt, faktor usia dan pengalaman daripada rakan-rakannya membuatkan dia lebih berwaspada dan sentiasa menjaga kesihatan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *