LOS ANGELES: Hubungan dingin antara Brad Pitt dan anak-anaknya terus menjadi perhatian apabila anak bongsunya bersama Angelina Jolie, Vivienne, memohon untuk menggugurkan nama keluarga Pitt daripada nama sahnya, lapor People.com
Vivienne, 18, dilaporkan memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles bagi menukar nama daripada Vivienne Marcheline Jolie-Pitt kepada Vivienne Marcheline Jolie.
Berdasarkan dokumen mahkamah yang diperoleh media antarabangsa, alasan permohonan itu hanya dinyatakan sebagai “peribadi”.
Mahkamah dilaporkan menetapkan 2 November depan sebagai tarikh pendengaran bagi permohonan berkenaan.
Langkah Vivienne itu menyusuli tindakan beberapa adik-beradiknya yang sebelum ini turut memilih untuk tidak lagi menggunakan nama keluarga Pitt.
Anak sulung pasangan itu, Maddox, dilaporkan sudah lama tidak menggunakan nama keluarga bapanya, manakala Zahara memperkenalkan dirinya sebagai Zahara Marley Jolie ketika menyertai sebuah pertubuhan pelajar di kolej pada 2023.
Dalam temu bual bersama majalah People pada 2021, Angelina pernah menyatakan beliau sentiasa memberi ruang kepada keenam-enam anaknya membentuk identiti masing-masing.
“Saya mempunyai enam anak yang sangat berbeza antara satu sama lain. Saya teruja melihat setiap fasa kehidupan, emosi dan rasa ingin tahu mereka.
“Tugas saya adalah membantu mereka mengenali diri sendiri. Mereka tidak akan dapat melakukannya jika kita tidak berkembang bersama mereka dengan penuh sokongan,” katanya, lapor portal berkenaan.
Perkembangan terbaharu itu hadir selepas hubungan Brad dengan anak-anaknya dilaporkan semakin renggang susulan perpisahannya dengan Angelina pada 2016 selepas dua tahun berkahwin dan lebih sedekad menjalinkan hubungan.
Perceraian pasangan Hollywood itu dimuktamadkan pada penghujung 2024 selepas melalui proses perundangan yang panjang.
Bagaimanapun, kedua-duanya masih terbabit dalam pertikaian undang-undang berhubung pemilikan Château Miraval, ladang anggur dan kilang wain di Perancis yang pernah dimiliki bersama.
Awal bulan ini, Angelina dilaporkan turut memfailkan dokumen mahkamah yang mendakwa Brad salah menggambarkan tuntutannya bagi mendapatkan rekod kewangan miliknya sejak beberapa tahun lalu.- AGENSI