Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim, 53, mendedahkan isterinya, pelakon Datin Lisa Surihani, 40, masih terbabit dalam bidang lakonan tetapi meletakkan syarat untuk bekerja tidak lebih 12 jam.
Yusry berkata, Lisa meletakkan syarat itu kepada produksi yang menawarkannya berlakon selepas mereka memiliki anak.
“Lisa masih belum bersara dari bidang lakonan kerana dia masih lagi berlakon selepas kami berkahwin. Cuma bila kami dapat anak, Lisa mula bataskan untuk terima tawaran kerja tidak lebih dari tempoh 12 jam itu.
“Tapi tidak banyak produksi yang boleh terima syarat yang diletakkan Lisa itu.
“Pada pandangan saya, itu sepatutnya syarat biasa yang semua orang patut lakukan tapi tidak banyak produksi letak dalam kontrak kerja,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, kata anggota kumpulan KRU itu, Lisa juga memilih watak yang bersesuaian dan menjaga batas dalam lakonan selepas tampil dengan imej bertudung.
“Kali terakhir, Lisa berlakon ialah dalam drama siri sebanyak lapan episod pada tahun lalu. Ada juga tawaran untuk kami berlakon sama, tapi masih belum ada kepastian lagi,” katanya.
Bagaimanapun, kata pelakon yang dikenali dengan watak Datuk Muzaffar dalam drama Dendam Seorang Mentua itu, dia akan menolak jika tawaran berlakon dengan isterinya membabitkan cerita yang tidak sesuai seperti babak pergaduhan dan sebagainya.
“Sebenarnya, saya tak nak sangat kami diketengahkan dalam lakonan kerana orang yang tengok drama di kaca televisyen akan mudah percaya apa yang dipaparkan.
“Contoh, lakonan saya dengan pelakon Tracie Sinidol dalam drama Dendam Seorang Mentua, orang percaya yang kami saling menyayangi tapi kita tahu itu sekadar lakonan.
“Kalau berlakon dengan isteri, babak sayang menyayangi dalam drama tidak apalah, tapi kalau babak bergaduh tidak bagus orang tengok,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.