Los Angeles: Punca kematian pelakon Hollywood, Daveigh Chase, yang popular menerusi filem The Ring dan suara watak Lilo dalam animasi Lilo & Stitch, disahkan akibat Aids, berdasarkan laporan rasmi.
Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles turut menyenaraikan “chronic polysubstance use” atau penggunaan pelbagai jenis dadah menyumbang kepada kematian pelakon berusia 35 tahun itu.
Bagaimanapun, kematiannya dalam laporan BBC diklasifikasikan sebagai kematian semula jadi.
Terdahulu, Chase dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital, di sini, pada 16 Jun lalu.
Sebelum ini, pengurusnya, John Ryan Jr memaklumkan kepada BBC bahawa pelakon itu meninggal dunia akibat sepsis selepas mengalami jangkitan meningitis ketika menerima rawatan di hospital
Bapanya, John David Schwallier memaklumkan kepada New York Times bahawa Chase hidup gelandangan bersama teman lelakinya di bandar raya ini sebelum kematiannya.
Chase yang turut dikenali sebagai Daveigh Schwallier memulakan kerjaya lakonan pada usia empat tahun sebelum mendapat peluang pertama di Hollywood ketika berusia tujuh tahun.
Kemunculan awalnya di televisyen termasuk dalam sitkom popular Sabrina the Teenage Witch sebelum mula mencipta nama menerusi filem Donnie Darko pada 2001.
Pada 2002, namanya melonjak apabila membawakan watak Samara Morgan dalam filem seram The Ring, watak ikonik gadis berhantu yang keluar dari skrin televisyen.
Lakonannya dalam filem itu melayakkannya menerima Anugerah MTV Movie bagi kategori Best Villain pada 2003.
Pada tahun sama, Chase turut mengalunkan suara bagi watak Lilo dalam filem animasi Disney, Lilo & Stitch yang kemudian melayakkannya menerima Anugerah Annie untuk kategori lakonan suara terbaik.
Dia juga terus membawakan watak terbabit dalam beberapa siri spin-off.
Selain itu, Chase turut terbabit dalam beberapa projek lain termasuk mengalih suara Chihiro dalam versi bahasa Inggeris filem Spirited Away serta membintangi drama kabel Big Love.
Menurut laporan Hollywood Reporter, kehidupan pelakon itu kemudian dilaporkan berdepan pelbagai isu undang-undang termasuk tuduhan memiliki dadah dan kes curi kenderaan.