Kuala Lumpur: Penyanyi, Ezad Lazim, 47, bersama isteri tercinta, Nor Azeana Ramli selamat pulang ke tanah air, malam tadi selepas menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah.
Menerusi sebuah hantaran video di Instagram, kepulangannya itu disambut dengan pelukan oleh dua anaknya iaitu Puteri Rania Keisha, 13, dan Putra Muhammad Darwish, 11.
“Dunia terasa sempurna bila bertemu anak-anak tercinta. Kerinduan terbalas dengan senyuman, ciuman dan pelukan setelah lama tidak bersua,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Dalam hantaran lain, Ezad turut memuat naik sebuah gambar yang memaparkan dia bersama isteri dan anak-anaknya dengan sebuah papan hitam bertulis ‘Selamat Pulang, Mummy Daddy’.
“Alhamdulillah, pulang bertemu insan tersayang. Syukur, ya Allah,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Ezad dan isteri berangkat ke tanah suci pada 30 April lalu bagi mengerjakan ibadah haji.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan sepanjang berada di tanah suci, Ezad berkongsi antara pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan apabila berpeluang untuk menunaikan ibadah itu sendiri dan ketika dia berada di Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Ezad yang berada di tanah suci selama 45 hari mengakui sangat teruja untuk merasai sendiri suasana sambutan Hari Raya Aidiladha di Makkah buat kali pertama dalam hidupnya.