KUALA LUMPUR: Impian penyanyi Bollywood terkenal, Jubin Nautiyal untuk bekerjasama dengan maestro muzik legenda, AR Rahman akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama menjadikan ikon muzik itu sebagai sumber inspirasi terbesar dalam perjalanan seninya.
Jubin berkata, peluang bekerjasama dengan AR Rahman disifatkan sebagai antara detik paling bermakna dalam karier seninya.
Menerusi temu bual sebelum ini, Jubin berkongsi bahawa komposer tersohor itu pernah memberi kata-kata semangat kepadanya ketika dia baru berusia 18 tahun dan berhijrah ke Mumbai demi mengejar impian dalam bidang muzik.
Menurut Jubin, AR Rahman pernah menyatakan suaranya memiliki keaslian dan keunikan tersendiri.
Kini, selepas berjaya mencipta nama sebagai antara penyanyi latar Bollywood paling popular, Jubin akhirnya berpeluang memasuki studio rakaman bersama idolanya itu.
“Saya baru mula bekerja dengan AR Rahman. Kami sudah menjalani sesi rakaman bersama, cuma saya sendiri belum tahu lagu itu akan digunakan untuk projek apa.
“Tetapi saya rasa sangat bertuah kerana akhirnya dapat bekerja dengannya dan mungkin melengkapkan satu perjalanan yang bermula sejak awal karier saya dahulu,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Jubin Nautiyal: Live in Malaysia 2026 di ibu negara, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Jubin berkata dia kini terbabit dengan beberapa projek muzik dan filem baharu di India.
Antaranya termasuk menyanyikan lagu Aakhri Ishq untuk filem Dhurandhar, selain melancarkan single Mere Humsafar yang mendapat sambutan hangat peminat.
“Selain itu, saya juga terbabit dengan beberapa video muzik menarik yang kini sedang popular di India.
“Saya sangat menghargai segala sokongan dan kasih sayang yang diterima sepanjang saya berkarya,” katanya.
Penyanyi popular menerusi lagu Bawara Mann, Kuch Toh Bata dan Humma Humma itu kembali ke Kuala Lumpur selepas kali terakhir mengadakan persembahan di sini pada 2022.
Menurut Jubin, dia berasa seronok dapat kembali bertemu peminat Malaysia menerusi konsert eksklusif yang berlangsung Sabtu lalu.
“Cinta semata-mata. Seronok apabila dapat berhubung dengan penonton ketika membuat persembahan.
“Sangat menakjubkan melihat ramai orang daripada pelbagai latar belakang berkumpul dan menikmati muzik bersama-sama. Itu pengalaman yang sangat luar biasa,” katanya.
Dalam masa sama, Jubin turut meluahkan hasrat untuk lebih mengenali muzik tempatan.
“Saya baru diperkenalkan dengan satu atau dua lagu rakyat Malaysia, jadi sekarang saya mahu mula mengenali lebih banyak muzik Malaysia.
“Kali pertama saya datang ke sini sekitar empat tahun lalu, saya masih cuba memahami muzik di sini. Jadi sekarang apabila kembali lagi, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya belajar muzik Malaysia,” katanya.
Jubin kini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi latar Bollywood paling berpengaruh dengan jutaan penstriman di seluruh dunia menerusi vokal emosional dan lagu romantik popularnya.