BUKAN mahu berahsia mengenai kehamilan cahaya mata sulung sebaliknya, penyanyi Amira Othman memilih untuk berkongsi pada waktu yang tepat seperti dijanjikan.

Amira, 33, yang kini mengandung tujuh bulan berkata, perjalanan menuju fasa bergelar ibu adalah sesuatu yang sangat peribadi buatnya bersama suami yang juga pelakon, Fattah Amin.

Menurutnya, dia mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menguar-uarkan berita kehamilannya kepada media dan peminat lebih awal.

“Dulu masa nak berkahwin pun, selepas ‘confirm’ (kepastian), baru saya kongsikan. Saya tak nak hebohkan terlebih dahulu sebab pada saya macam-macam benda boleh jadi dalam hidup.

“Bagi saya, berita sebegini seeloknya disembunyikan dahulu sebab kita tak tahu bagaimana nanti.

“Jadi, tiada alasan lain, melainkan mendengar nasihat daripada orang yang perlu kita dengar termasuk mahu mengelak penyakit ain,” katanya pada majlis rumah terbuka anjuran Rissa Skin di Shah Alam, baru-baru ini.

Sebagai selebriti yang menjadi perhatian ramai, penyanyi yang popular dengan lagu Rasa & Takdir itu mengakui dia perlu lebih berhati-hati dan banyak bersandarkan kepada doa.

Menurutnya, dalam ramai yang mendoakan kebaikan, mungkin ada juga yang menyimpan rasa kurang senang.

“Sebenarnya jadi orang yang dipertonton ini, kita kena banyak berdoa. Yang baik pun ramai sahaja, tapi mungkin ada juga yang tidak berapa suka.

“Kita tidak tahu hati orang. Saya sudah berusaha dan kini memilih untuk bertawakal dan reda. Saya juga tidak bercakap yang bukan-bukan, mudah-mudahan, Allah menjaga semuanya,” katanya.

Walaupun menyedari ada suara sumbang di belakangnya, Amira berkata, dia tidak membenarkan aura negatif mengganggu ketenangan dirinya.

“Saya selalu kata, cakap perkara yang baik-baik. Kita tidak tahu keadaan orang. Sememangnya saya tak mampu berbuat apa-apa. Menjadi saya begitu keadaannya. Ada sahaja pusing sana sini, kiri kanan, depan belakang (kata negatif).

“Tetapi, yang baik itu lebih ramai. Macam biasa, ketika tidak mengandung pun saya tak ambil perhatian pada yang tidak suka pada saya.

“Saya hanya mampu berdoa moga Allah melindungi saya dan keluarga daripada perkara yang tidak baik. Sebab kita tahu doa yang tidak baik, tidak akan makbul. Jadi, pada saya, berhati-hati dengan kata-kata. Sebab kita pun diuji dengan kata-kata kita itu,” katanya.

Kata Amira lagi, dia juga tidak membaca komen negatif kerana mahu menjaga kestabilan emosi dan mentalnya ketika mengandung.

“Saya teruskan kehidupan sebab begitu hidup saya, menjadi selebriti, saya yakin ramai lagi orang baik yang mendoakan perkara yang baik-baik untuk saya dan keluarga,” katanya.

Berkongsi penerimaan suami selepas mengetahui berita kehamilannya, Amira berkata, dia juga berada dalam jagaan yang baik.

“Saya yakin seperti suami lain, Fattah juga sama dan prihatin bila bab isteri hamil. Okey sahaja. Fattah suami yang sangat baik. Itu sahaja yang mampu saya jawab,” katanya.

Beralih perkembangan karier seni pula, kata Amira, dia sudah membuat keputusan meninggalkan bidang lakonan lebih awal dan tiada kaitan dengan berita kehamilannya.

Pada masa sama, kata pelakon telefilem Poskad Cinta Dari Istanbul itu, suaminya juga menyokong keputusannya meninggalkan bidang lakonan.

“Sebenarnya saya sudah lama tinggalkan bidang lakonan. Saya hanya berlakon dengan projek terbitan UTV sebab komitmen sebagai duta dan peluang berlakon bersama suami.

“Cuma saya beritahu ada kekangan masa menyebabkan saya fikir keutamaan memang pada bidang nyanyian. Bukan ada kena-mengena dengan kandungan dan sebagainya,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *