Kuala Lumpur : Menyentuh soal Baitullah, pasti ada rasa kerdil dan keinginan mendalam mencari ketenangan dalam diri setiap hamba.
Perasaan itulah yang cuba diterjemahkan menerusi lagu tema Salam Baitullah.
Istimewanya sempena ulang tahun ke-18 rancangan ikonik RTM itu, lagu tema kali ini mendapat sentuhan peribadi penerbitnya, Rafidah Kamaludin bersama Fiona Laurendra Benard yang menghasilkan lirik dan melodi sebagai dedikasi buat penonton setia.
Malah Rafidah menyifatkan lirik lagu ini sebagai refleksi jujur pengalaman peribadinya ketika berada di Tanah Suci.
Walaupun mengekalkan tajuk Salam Baitullah, roh lagu ini sebenarnya membawa pendengar menghayati perjalanan yang digelar “Jihad yang Terindah”.
“Kita semua adalah pendosa yang sentiasa memohon keampunan dan keredaan Allah SWT. Apabila berada di sana, perasaan itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Menariknya, proses awal penciptaan lagu ini membabitkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di mana Rafidah menghasilkan lebih 20 variasi melodi sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, bagi memastikan “jiwa” lagu itu benar-benar sampai ke hati pendengar, melodi berkenaan digubah semula oleh pakar muzik, Raja Mohd Sham daripada Orkestra RTM (ORTM) ke dalam bentuk susunan orkestra yang lebih gah dan meruntun jiwa.
Sebaik sahaja demo lagu disiapkan, nama penyanyi bervokal mantap, Lah Ahmad terus menjadi pilihan utama pasukan penerbitan.
Imej bersih serta kepakaran Lah dalam genre RnB dan ketuhanan dianggap sangat serasi dengan identiti program. Walaupun sibuk, Lah berjaya menyelesaikan rakaman pada Februari lalu dengan hasil yang cukup memuaskan.
Bagi video muzik (MV) pula, konsep ‘low key lighting’ yang minimalis digunakan bagi memberi fokus kepada emosi. Visual tambahan dalam MV berkenaan bukanlah rakaman biasa, sebaliknya menggunakan rakaman sebenar pasukan Rehlah Haramain di Makkah dan Madinah pada Januari lalu.
“Saya mahu lagu ini menjadi medium untuk penonton mengimbau kembali kenangan di Tanah Suci, sekali gus menyuntik semangat buat mereka yang masih menanti undangan ke sana,” tambah Rafidah.
Lagu tema ini juga disifatkan bukan sekadar muzik, tetapi sebuah sapaan hati buat seluruh umat Islam yang merindui rukun Islam kelima itu.