MESKIPUN langkah dalam karier seni Datuk ND Lala bermula sebagai pelakon pada 1982, namun atas tekad dan sabar dirinya membuahkan hasil mencapai tujuan utama menjadi penyanyi dan artis rakaman bersama Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.
Pada 1986 iaitu kira-kira tujuh tahun menetap dan membina kerjaya di Kuala Lumpur, baru lamaran daripada seniman legenda muzik tersohor, Ahmad Nawab diperoleh ND Lala atau nama sebenar Amir Amzah Salleh.
ND Lala, 65, berkata sebelum dapat jadi penyanyi rakaman, beliau pernah bekerja sebagai buruh bangunan pada siang dan malam pula cari peluang main muzik di kelab termasuk menyertai banyak pertandingan nyanyian di Selangor serta Kuala Lumpur.
“Saya hanya dapat jadi penyanyi pada 1986. Album saya diterbitkan oleh Ahmad Nawab selepas arwah tawarkan saya untuk buat album. Ertinya, perjalanan saya untuk jadi penyanyi itu pada tahun ketujuh baru dapat jadi artis rakaman.
“Bila saya datang (dari Ipoh ke ibu kota), saya cari peluang sebab saya memang nak jadi penyanyi. Siang saya kerja buruh bangunan, malam pula main muzik di ‘night club’ dan saya juga dapat menyertai banyak pertandingan (menyanyi) di Selangor dan Kuala Lumpur. Banyak yang saya menang.
“Malah, saya dapat peluang untuk buat rakaman. Dari 1980 sehingga 1985, hampir setiap tahun itu ada syarikat yang pelawa saya untuk jadi artis rakaman, tetapi pada masa itu memang niat saya nak jadi artis rakaman dengan Ahmad Nawab.
“Alhamdulillah dengan izin Allah walaupun saya tolak tawaran (rakaman) yang lain, saya dapat peluang berlakon dan mula popular pada 1982 dalam drama televisyen,” katanya.
Berbicara pengalaman bekerja dengan Allahyarham Ahmad Nawab, bapa empat cahaya mata ini memberitahu momen dilaluinya tidak sama dengan penyanyi lain dan itu satu sejarah.
“Saya tanya artis yang lain, tetapi tidak sama dengan saya. Rakaman saya untuk album itu (yang pertama) sebab tak pernah buat rakaman, jadi saya ambil masa lapan jam. Empat jam pertama adalah rakam muzik dan suara latar.
“Kemudian, empat jam berikutnya saya pergi ke tepi piano dan Ahmad Nawab akan mainkan melodi dan liriknya. Saya dengar dan ‘record’ (rakam). Jadi, empat jam saya rakam sembilan lagu dalam album.
“Lagu itu saya tidak dapat sebelum (rakaman), dapat di studio tepi piano. Dengar melodi dan rakam. Jadi sembilan lagu dalam masa empat jam, saya tidak pernah dengar ada artis lain yang ambil masa (rakaman) sekejap.
“Pada masa itu, cuma ironinya adalah saya sedang jadi hero drama dikenali ramai. Jadi, saya bayangkan kalau peluang dapat menyanyi ini saya akan muncul dengan lagu balada. Sebab balada dan pop rock adalah genre saya pada masa itu,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Nawab memaklumkan beliau ada tengok sitkom Sofea dan dari situ sudah membuat lagu Buah Hati Di Kebas Orang hasil daripada penelitian dibuatnya daripada karakter dilakonkan.
“Jadi, apa yang saya harap dapat nyanyi lagu balada, tetapi lagu yang menyerlah adalah Buah Hati Di Kebas Orang yang liriknya ditulis oleh Datuk Chuari Selamat. Kata arwah (Ahmad Nawab) kepada saya, buat lagu yang ini boleh naik.
“Saya rakam lagu itu (Buah Hati Dikebas Orang) pada 1986 walaupun tak dapat lagu balada yang diinginkan. Tetapi, Ahmad Nawab lebih tahu apa yang sesuai (lagu) untuk saya. Jadi, pada saya ia sangat bermakna dalam perjalanan seni saya selama 45 tahun ini,” katanya mengimbau kenangan lalu.
Pernah merakamkan lapan album selama aktif menjadi penyanyi dan artis rakaman. Lagu lain nyanyiannya adalah Balada Cintamu Balada Cintaku, Peel, Bila Lagi, Alah Emak Kahwinkan Aku dan Sebuah Lakunan Cinta.
Tidak hanya itu, ND Lala juga popular dengan lagu etnik kreatif dan muzik tradisional seperti Mat Tahir Mata Air, Diari YB, Syair Cak Pong, Zapin Berharap serta menang Juara Lagu Kategori Etnik Kreatif pada 1995 dan 1996 pada Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3.