Shah Alam: Penyanyi, Wani Kayrie gagal menahan emosi lalu menitiskan air mata sejurus diumumkan sebagai antara finalis yang bakal beraksi di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.
Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 26, mendedahkan dia sebenarnya sudah mula menangis sebaik saja menamatkan persembahannya di pentas separuh akhir kerana berasa sebak dengan sokongan luar biasa yang diterima.
“Saya menangis sebab sebak. Saya baca ramai yang kata lagu saya cukup kuat untuk ke final dan minta saya jangan risau. Namun, saya tidak mahu terlalu selesa kerana apa-apa pun boleh berlaku di saat akhir.
“Selagi tidak habis menyanyi, saya tetap rasa gementar dan menganggap diri sedang bertanding,” katanya kepada Harian Metro.
Wani mengakui berasa terkejut dan kerdil apabila melihat wajahnya terpampang di skrin memandangkan dia perlu bersaing dengan barisan penyanyi senior yang jauh lebih berpengalaman.
Tambahnya, kejayaan itu adalah satu pengiktirafan besar selepas hampir 16 tahun dia mencurahkan usaha, pengorbanan dan kerja keras dalam industri seni tanah air.
“Pada awalnya orang tidak tahu pun lagu ini, tapi saya ‘paksa’ orang ramai buat trend dan ajak rakan artis sertai sekali. Tapi orang kata kalau sudah rezeki, ia akan datang sendiri.
“Saya tidak sangka impaknya serancak itu sehingga tawaran kerja pun masuk mencurah-curah,” katanya.
Selain Cak Cak Cekuk, sembilan lagi lagu yang berjaya menempah tiket ke final adalah Tiwikarma (K.O.I), Lumangad Oku Dika (Ryenald Guntabid), Kamu (Aina Abdul), Tak Adil (Aisha Retno), Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik), Nurcinta (Amir Masdi), Lemah (Dayang Nurfaizah), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan) dan Semacam Pandora (Hazama).