Sungai Buloh: Pempengaruh TikTok dan pelakon baharu, Imranul Effendy meluahkan rasa syukur kerana namanya kini semakin mendapat perhatian selepas muncul dalam Muzik Video (MV) lagu raya penyanyi popular, Aisha Retno berjudul Jodoh lebaran yang tular di media sosial.

Imranul berkata, jika nak diikutkan dia sudah lama menari tetapi kejayaan lagu raya Jodoh Lebaran Aisha yang mencetuskan fenomena turut membawa tuah pada dirinya.

“Alhamdulillah, sejak lagu Jodoh Lebaran menjadi fenomena tahun ini, nama saya turut mendapat perhatian dan ramai orang sudah mula kenal saya sebagai penari yang mengiringi persembahan Aisha.

“Saya juga anggap sebagai rezeki kerana mungkin orang tak pernah tengok saya menari tarian tradisional sebelum ini.

“Jadual saya juga padat bulan ini kerana mengiringi persembahan Aisha menerusi lagu Jodoh Lebaran dalam pelbagai acara dan majlis hari raya,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Kopi Saigon HQ bersama pasangan pelakon Fasha Sandha dan Aidil Aziz di CKS Elmina, di sini.

Mengenai dakwaan menumpang nama Aisha pula, kata Imranul, dia tidak menafikan perkara itu.

“Ya, saya akui memang menumpang nama Aisha dan lagu Jodoh Lebaran tapi saya menggunakan peluang itu sebaik mungkin serta memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan.

“Sebenarnya, saya seorang yang pemalu dan sedar diri tetapi Aisha seorang artis yang sangat baik dan sentiasa beri sokongan dari belakang. Kami juga profesional ketika bekerja.

“Apapun, saya juga terbuka untuk bekerjasama dengan artis lain selepas ini,” katanya yang pernah dinobatkan juara All Star Championship 2025.

Ditanya perancangan karier seni pula, kata Imranul, dia juga sudah menceburi bidang lakonan pada tahun lalu.

“Antara projek baharu lakonan ialah filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG) berjudul Nar’sata : Sekutu Setan arahan Pierre Andre.

“Selain itu, saya juga terbabit dalam penggambaran filem Takluk 2 : Op Daulat terbitan Multimedia Entertainment,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *