Kuala Lumpur : Penyanyi, Hafiz Suip mengakui memikul tanggungjawab besar dalam membimbing isterinya yang juga seorang mualaf, meskipun menyifatkan dirinya masih dalam proses belajar.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 36, berkata, beliau tidak malu untuk mengakui ada ketikanya beliau ‘buntu’ apabila diajukan soalan mengenai agama oleh isterinya, Fiona Safiyya.

“Apa yang saya boleh katakan, semuanya saya berserah kepada Allah. Mahu kata saya ini pandai sangat dalam bidang agama itu tidaklah.

“Ada masanya apabila dia (isteri) bertanya, saya jadi ‘jammed’ seketika. Saya akan cakap, ‘Kejap, saya bertalaah dulu dengan ustaz’ sebelum saya beri penjelasan kepadanya. Apa yang penting, kita jangan putus asa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Usanita, baru-baru ini.

Bagi memantapkan ilmu bimbingan, Hafiz turut berkongsi pendapat dan pengalaman bersama rakan artis lain yang turut mempunyai situasi sama.

“Saya ada bertanya dan berkongsi pendapat dengan rakan-rakan artis seperti Akim dan Hazama kerana mereka juga berkahwin dengan pasangan bukan Muslim,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman pertama menyambut Aidilfitri di Sarawak sebagai pasangan suami isteri, pelantun lagu Ku Akui ini menyifatkan ia sebagai satu kenangan baharu yang cukup manis buatnya.

Malah, Hafiz sempat berkongsi kisah melucukan mengenai gelagat isterinya ketika kali pertama menyediakan juadah sahur.

“Hari pertama sahur, dia masak macam masak tengah hari. Ada lauk ayam kicap, sayur campur, memang lengkap. Saya cakap kepada dia, ini sudah macam makan berbuka puasa. Iyalah, di Sarawak kan waktu sahur awal sekitar jam 3 atau 4 pagi.

“Masuk hari kedua dan ketiga, saya tegur secara lembut. Saya minta dia masak ringkas sahaja untuk bersahur. Alhamdulillah, lama-kelamaan dia mula faham dan masak hidangan yang lebih ringkas,” katanya.

Dalam pada itu, Hafiz turut berkongsi sambutan Aidilfitri tahun ini disambut dalam suasana yang sederhana selepas pemergian ibunya, Allahyarham Halizawati, pada November tahun lalu.

“Bapa pesan tahun ini jangan buat rumah terbuka, cukup sekadar menziarahi keluarga terdekat. Tahun ini suasana terasa sedikit hiba bagi kami sekeluarga terutama apabila berkumpul di rumah nenek.

“Arwah ibu saya anak bongsu dan arwah seorang yang suka memeriahkan suasana. Jadi apabila berkumpul tahun ini, kami semua terasa sangat akan kehilangan dan ketiadaan arwah ibu,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *