Kuala Lumpur: Pelakon Jazmy Juma, 28, menafikan dirinya cepat melenting atau pemarah apabila menegur individu yang dianggap mengganggu privasi ketika bersiaran langsung di media sosial.
Jazmy atau nama sebenar Jazmy Khan Juma Khan berkata, dia bertindak memberi teguran tegas apabila berasa segelintir pihak mula melampaui batas sehingga mengganggu emosi dan perjalanan kerjayanya.
“Apa yang saya buat dalam siaran langsung itu adalah meminta agar mana-mana pihak termasuk individu berkenaan jangan mengganggu kehidupan peribadi saya.
“Boleh saja jika nak ambil tahu pasal saya, tapi janganlah melampaui batas. Saya bukan jenis orang yang cepat melenting sebab saya sangat memendam rasa selagi boleh.
“Selagi saya boleh diam, saya diam kerana itu lebih baik. Sebab, saya juga bukan seorang pemarah. Tapi kalau saya dah marah, kawan-kawan saya pun tahu saya marah macam mana,” katanya.
Terdahulu, Jazmy hadir pada majlis tayangan perdana drama vertikal berjudul My Ramadan Love Story arahan Osman Ali, di sini, semalam.
Pelakon drama Hilang Dalam Rindu dan Takdir Cinta Terlarang ini berkata, dia boleh menerima nasihat peminat, tetapi teguran perlu mengikut cara dan saluran yang betul tanpa ada kata-kata kasar.
“Saya terbuka menerima nasihat daripada peminat. Cuma, saya rasa macam tak semua benda boleh mereka sentuh terutama hal peribadi. Jadi, saya harap orang hormati perkara itu.
“Sesiapa saja boleh beri nasihat atau tunjuk ajar yang baik. Kalau saya rasa perkara itu baik, patut diikut dan tidak melampau maka saya akan akur. Tapi bila teguran itu dirasakan sebaliknya dan lebih-lebih, saya boleh nak terima.
“Benda itu (teguran kasar) kadang-kadang memang mengganggu proses perjalanan hidup seharian saya dan kerja juga. Oleh itu, saya terpaksa bersuara kerana ia wajar dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai kata-kata kasar yang diterimanya sehingga terpaksa menegur dalam siaran langsung itu, Jazmy enggan berkongsi secara terperinci.
Katanya, dia tidak perlu mengulas lebih lanjut kerana ia sudah berlalu sekali gus ia dilakukan hanya untuk melindungi diri sendiri dan juga orang tersayang.