Subang Jaya: Pelakon dan pengarah M Jamil yang menghidap strok sejak lapan tahun lalu mendakwa terkilan apabila isterinya memfailkan permohonan cerai terhadapnya.
M Jamil atau nama sebenarnya, Mohamad Jamil Zulkifli, 62, berkata dia tidak mengetahui apa-apa kerana tiada perbincangan antara mereka sehinggalah menerima surat daripada mahkamah pada 24 Disember 2025.
“Saya diminta hadir untuk perbincangan pada 11 Februari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Semasa di sana, isteri bersama peguamnya. “Dia diam tanpa bercakap apa-apa dengan saya. Maknanya 100 peratus dia berubah. Hanya bercakap dengan peguam saja.
“Dia memberikan beberapa alasan berkenaan tuntutan cerai itu, tapi saya anggap tak masuk akal dan saya tak jawab,” katanya kepada Harian Metro.
Pasangan ini berkahwin pada 24 Mei 2014 dan mereka dikurniakan dua anak berusia sembilan serta 11 tahun.
Anak kepada Seniwati Sarimah ini berkata, walaupun tidak bekerja kerana mengalami strok, dia tetap menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan membayar rumah dan keperluan lain yang berkaitan.
“Bila benda (strok) ini berlaku pada saya, isteri mula buat perangai. Dia kata saya marahkan dia, tapi takkanlah dalam perkahwinan tak boleh marah?
“Jadi 14 April ini, kes akan bersambung untuk cari jalan perdamaian dan jika gagal, maka akan pergi ke peringkat hakam. Apapun saya kasihankan dua anak saya yang tak pernah berpisah,” katanya.
M Jamil yang mempunyai 11 anak menerusi empat perkahwinan kini tinggal bersama dua anaknya hasil perkahwinan dengan Allahyarham Siti Rohani Wahid.
Menurutnya, dua anaknya yang menetap di luar negara bekerja sebagai doktor dan pensyarah.
“Saya amat terkilan apabila isteri buat begini. Selama ini hanya dia yang tahu macam mana cara penjagaan dan ubat untuk saya makan. Sekarang memang agak susah untuk saya buat sendiri.
“Pada masa sama, saya sebenarnya tidaklah nak salahkan sesiapa sebab benda (permohonan cerai) ini boleh bawa bincang elok-elok dan kena tahu apa sebab musababnya,” katanya.
Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan isteri M Jamil untuk maklum balas berhubung permohonan cerai berkenaan.