DI sebalik kemewahan dan senyuman manis yang sering dipamerkan golongan pempengaruh di media sosial, siapa sangka tersimpan ‘dusta’ berbisa yang mampu meruntuhkan sebuah mahligai perkahwinan dalam sekelip mata.
Itulah realiti pahit yang cuba diketengahkan menerusi drama Samarinda berjudul Kerana Cinta Itu Dusta.
Menerajui watak utama sebagai Sufian, pelakon, Jazmy Juma, mengakui naskhah kali ini benar-benar mencabar kredibilitinya apabila perlu menyelami jiwa seorang suami yang bergelut dengan krisis ego dan rasa dipinggirkan.
Menurut Jazmy, drama 30 episod ini bukan sekadar kisah cinta klise, sebaliknya ia menyentuh isu tular mengenai konflik peribadi yang sering dicanang secara terbuka di media sosial semata-mata demi mencari validasi netizen.
Jazmy menjelaskan cabaran terbesar dalam membawa watak Sufian adalah untuk memahami mengapa masalah yang sepatutnya diselesaikan secara matang akhirnya dibawa ke ruang digital.
“Cabaran terbesar membawa watak ini adalah memahami mengapa masalah yang sepatutnya diselesaikan secara matang akhirnya dibawa ke media sosial untuk mencari validasi.
“Dalam realiti hari ini, apabila emosi mengatasi rasional, satu perkongsian sahaja mampu memburukkan keadaan,” katanya.
Kisah ini memaparkan perjalanan hidup pasangan suami isteri, Orked lakonan Emma Maembong dan Sufian yang membina empayar perniagaan dari bawah sehingga bergelar pempengaruh berjaya.
Namun, kebahagiaan itu mula goyah apabila Sufian merasa dirinya tenggelam di sebalik bayang-bayang kejayaan isterinya yang semakin menyerlah.
Keadaan menjadi lebih parah dengan kehadiran Seri lakonan Azira Shafinaz, iaitu sahabat baik Orked yang pernah diselamatkannya daripada perkahwinan toksik sebelum ini.
Persoalannya, adakah Seri akan kekal sebagai sahabat setia atau bakal menjadi ‘duri dalam daging’ buat Orked?
Drama Kerana Cinta Itu Dusta mula ditayangkan sejak 25 Februari lalu. Ia disiarkan di TV3 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 malam.