Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad menyangkal dakwaan segelintir pihak di media sosial mengatakan hubungannya dengan pelakon terkenal, Nur Fazura pernah dingin sebelum ini.

Nabil, 43, berkata dakwaan itu hanyalah persepsi semata-mata kerana hakikatnya mereka tidak pernah berdepan sebarang konflik, malah sudah lama menjalin kerjasama dalam industri seni.

“Hubungan saya dengan Fazura memang baik. Kami pernah bekerjasama, cuma saya terlupa yang kami pernah jalani penggambaran dan menjayakan program bersama antaranya Bujang Terlajak bersama Saiful Apek Senario.

“Apabila video lama itu dimainkan semula, barulah saya teringat dan terfikir bahawa dahulu kami agak rapat juga.

“Jadi, apabila kami bertemu semula, Alhamdulillah apa yang dirancang mendapat perhatian dan saya gembira hubungan baik masih kekal,” katanya.

Mengulas mengenai komen negatif netizen di aplikasi Threads, pemenang Anugerah Pengacara TV Popular itu memilih untuk tidak mengambil tahu demi menjaga kesihatan mentalnya.

Menurutnya, dia tidak mempunyai akaun aplikasi itu dan menyedari ada pihak yang cuba melaga-lagakan sedangkan realitinya mereka yang juga duta produk jenama pakaian termasuk Que Haidar dan Kamal Adli boleh duduk semeja dan bergelak ketawa.

Dalam pada itu, Nabil turut mengulas mengenai keserasian antara Fazura dan Que Haidar yang kini tular dan menjadi bualan peminat.

“Memang ada detik-detik yang orang kata ‘cuteness overload’. Sebagai kawan, apabila melihat sesuatu yang berbunga-bunga di set, kita rasa seronok melihat keserasian itu.

“Sama ada ia dirancang atau tidak, saya tidak pasti namun di sebalik tabir, mereka kelihatan sangat ikhlas ketika berbual,” katanya.

Nabil berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu raya baharu nyanyian Nabila Razali berjudul Tak Sabar Nak Raya di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Nabil turut membuat kemunculan dalam video muzik lagu raya Nabila Razali yang dijadual mula ditayangkan pada Jumaat ini.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *