KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Ebby Yus tersentuh dengan kemuliaan hati pengasas Restoran Bumbu Babah, iaitu Ajak Shiro yang menawarkan dua cawangan premis berkenaan, iaitu di Kampung Baru dan Pasar Seni untuk diselia, biarpun tidak memberi tugasan atau tanggungjawab khusus untuk dilakukan, atas dasar berkongsi rezeki dan membantu dirinya yang terputus mata pencarian.

Ebby atau nama penuh, Ebby Yus Ramli, 6,1 berkata, apa yang ditawarkan Ajak kepadanya adalah inisiatif bagi memastikan dia mempunyai pendapatan tetap.

Ebbt berkata, Ajak tidak meletakkan syarat atau menuntut dia hadir dan membantu mengurus kedua-dua cawangan restoran itu.

“Kalau ikut Ajak, sebulan sekali sahaja dia suruh datang. Malah, boleh sahaja jika saya tidak datang ke kedai.

“Kadang-kadang apabila saya datang restoran banyak hari, dia marah. Ajak tanya buat apa dan suruh saya balik sahaja.

“Ajak memang hendak berkongsi rezeki. Sebenarnya dia boleh sahaja beri tanpa saya perlu datang atau ambil tahu apa-apa berkaitan kedai. Tetapi, saya fikir tidak elok kalau tidak sumbangkan apa-apa,” katanya ditemui pada pelancaran program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) #BHNakTanya – Wadah Satu Hari 2026 serta majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk Penghibur Nasional, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad di Restoran Bumbu Babah, Kampung Baru di sini, baru-baru ini.

Program CSR #BHNakTanya: Wadah Satu Hati mendapat sumbangan Kumpulan Mitraland, D’Herbs Holdings, Econsave, KM Beauty Product dan tajaan lokasi Restoran Bumbu Babah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai keadaan kewangannya, Ebby mengakui pendapatan yang diterima tidak seperti dahulu. Namun, Ebby bersyukur keperluan asasnya terjaga.

Berkongsi perkembangan kerjaya pula, Ebby berkata, buat masa ini dia belum bersedia menerima tawaran lakonan kerana perlu memberi tumpuan kepada rawatan dialisis yang dilakukan di rumah setiap hari.

“Alhamdulillah, keadaan lebih baik berbanding sebelum ini. Saya masih perlu dialisis lapan jam setiap hari dari selepas Isyak hingga Subuh menggunakan mesin di rumah.

“Setiap pagi pula ada rawatan kira-kira 45 minit. Jadi, sukar untuk jalani penggambaran, terutama waktu malam. Waktu siang pun terhad.

“Ada syarikat produksi yang sanggup sesuaikan jadual. Tetapi, saya tidak mahu menyusahkan orang,” katanya.

Sebelum ini, Ajak Shiro atau nama sebenar, Mohd Hanaffi Razak dilapor menghadiahkan cawangan Restoran Bumbu Babah untuk diurus Ebby. Ajak juga mahu berkongsi keuntungan atas dasar persahabatan terjalin.

Ajak dilapor memberitahu niat menghadiahkan cawangan restoran itu kepada Ebby bukanlah mahu bermegah-megah, sebaliknya membalas kebaikan pelawak veteran yang banyak berjasa kepada kerjaya seninya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *