Kuala Lumpur: Pelakon, Aniq Suhair mengakui bukan mudah untuk bertahan dan kekal relevan dalam industri seni tanah air terutama apabila terpaksa berdepan lambakan pelakon baharu yang berbakat besar.

Aniq atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 26, berkata, kehadiran bakat baharu yang memiliki kelebihan masing-masing secara tidak langsung menuntut dirinya untuk memberikan komitmen 100 peratus dalam setiap lakonan.

“Bagi saya untuk nak ‘sustain’ (kekal) dalam industri seni ini sangat-sangat susah sebab setiap masa ada ‘newcomers’ (pendatang baharu), pesaing-pesaing baru yang lebih berbakat dan ada apa yang kita tak ada.

“Justeru, saya cuba teruskan dan setiap naskhah yang saya bekerja atau setiap perkara yang dibuat saya cuba untuk bagi yang terbaik atau 100 peratus komitmen.

“Saya akan buat preparation (persediaan) dengan baik dan cuba tambat hati penonton dengan setiap watak. Walaupun watak kecil, saya akan cuba bagi menonjol juga,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bekas peserta Hero Remaja 2019/2020 itu mengakui dia seorang penyendiri sekali gus menyukarkannya untuk tampil terlalu aktif di media sosial seperti membuat siaran langsung di TikTok.

“Sebenarnya saya ini agak ‘low profile’ di media sosial. Saya memang tak aktif dan sangat-sangat introvert. Kalau macam nak berkomunikasi dengan peminat atau penonton di TikTok, saya memang jarang buat.

“Saya tak reti nak berkomunikasi dengan mereka. Tapi itu adalah satu cara untuk konsisten sebenarnya, nak bagi orang ingat dekat kita.

“Saya cuba juga untuk buat ‘content’ yang orang suka untuk kekalkan konsisten itu dan bagi orang kenal,” katanya lagi.

Menyedari dirinya bukan berasal dari latar belakang seni, pelakon drama Hanya Untuk Dia itu perlu berusaha untuk memperbaiki mutu lakonannya sendiri berdasarkan pengalaman ketika berada di set penggambaran.

“Saya bukan daripada ‘background’ seni, tak pernah sertai teater atau sekolah seni. Jadi, saya ambil pengalaman berlakon dan perbaiki diri di set penggambaran.

“Ramai artis sekarang atau pelakon lama yang meletup memang dari latar belakang teater dan sekolah seni, mereka dah tahu ‘plan’ dan cara. Saya tak tahu, jadi saya belajar sendiri satu-persatu,” kongsinya.

Sementara itu, Aniq yang membuat kemunculan semula dalam industri seni selepas dua tahun menyepi berkata, tempoh rehat itu adalah keputusan yang dirancang bagi memberi laluan kepada komitmen perniagaan keluarga serta pengajiannya.

“Dua tahun berehat itu memang saya pilih atas faktor komitmen lain. Saya sibuk dengan perniagaan keluarga dan belajar. Sekarang baru saya buat ‘comeback’ semula selepas hampir dua tahun.

“Memang betul sekarang tumpuan pada perniagaan, tapi saya tak abaikan bidang lakonan sebab ini minat, hobi dan punca pendapatan besar juga untuk saya.

“Saya tak abaikan dan takkan tinggalkan selama-lamanya (bidang lakonan) sebab saya sudah cipta nama (dalam industri ini). Walaupun tak ‘hit’ mana, saya cuba untuk konsisten dan buat semampu boleh, sebaik boleh, insya-Allah,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *