Petaling Jaya: Pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak mengakui wujud perasaan rindu untuk kembali beraksi bersama rakan duonya, Johan selepas membawa haluan masing-masing.

Menurut Zizan, 42, keputusannya untuk kembali bergandingan bersama Johan disebabkan mendapat banyak permintaan daripada peminat gandingan mereka.

“Memang kami ada perancangan bersama, cuma saya belum boleh dedahkan lagi buat masa ini. Insya-Allah, perancangan ini dibuat kerana ia sesuai dengan peredaran zaman dan permintaan ramai.

Mengulas mengenai keterujaan peminat yang merindui gandingan mereka, Zizan mengakui dia turut tersentuh melihat sambutan hangat di platform media sosial.

“Memang betul, kalau lihat di media sosial ramai yang kata rindu. Selepas gambar kami tular baru-baru ini, video-video lama saya bersama Johan pun kembali naik di Threads.

“Kalau betul rindu, jom kita bincang dulu. Saya pun bincang dulu dengan Johan. Jadi, nantikan,” katanya lagi.

Terdahulu, Zizan mencuri perhatian orang ramai dengan memuat naik sebuah foto bersama Johan di Threads, baru-baru ini.

“Done meeting for the @jozlynhanania. So are u guys ready? (Selesai bincang bersama @jozlynhanania. Adakah anda semua bersedia?),” tulisnya di ruangan kapsyen.

Dalam perkembangan lain, Zizan yang turut menjadi duta jam tanggan G-SHOCK mengakui amat berbangga apabila dipilih menyandang tanggungjawab itu.

“Saya rasa ini adalah pencapaian paling tinggi dalam kerjaya saya apabila mewakili sebuah jenama antarabangsa yang kita tahu dikenali di peringkat antarabangsa.

“Ramai yang menggunakan jenama ini, jadi saya rasa memang tidak ada sebab untuk saya menolaknya,” katanya.

Untuk rekod, Zizan sudah menjadi duta jenama terbabit sejak tahun lalu.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *