Selepas lebih sedekad bergerak solo, penyanyi dan komposer, Asfan Shah, 42, kini tampil bersama kumpulan Manusia yang ditubuhkan sejak penghujung tahun lalu.
Menariknya bank yang juga menampilkan gabungan Asfan bersama barisan empat pemuzik berpengalaman dalam industri muzik tanah air.
Selain Asfan selaku vokalis utama, anggotai lain adalah Adam dan Arash dari kumpulan Treehill sebagai pemain gitaris, Zack dari New Boyz (bass) dan One dari Sofazr (dram).
Menurut Asfan yang cukup dikenali sebagai penyanyi lagu OST (runut bunyi), pembabitan pemuzik berpengalaman dalam kumpulan itu memberikan kelebihan tersendiri termasuk sokongan dari peminat setiap anggota.
“Selepas lebih 10 tahun bergerak solo, saya berasa sudah tiba masanya untuk saya mencuba sesuatu yang baharu bersama band pula.
“Saya percaya, bila bergerak bersama band, saya berasa lebih bebas untuk bereksperimen dalam muzik berbanding projek solo yang ada kalanya tidak menjadi seperti dirancang,” katanya ketika ditemui pada sidang media Asfan & Manusia dan pelancaran Single Dusta di Juz Coffee Puncak Jalil selaku penaja rasmi acara berkenaan.
Berkongsi konsep muzik pula, kata penyanyi yang dikenali dengan lagu OST (runut bunyi) untuk drama itu, mereka juga membawakan sesuatu yang berbeza dalam kumpulan itu.
“Konsep muzik kami lebih kepada pop elektronik dan agak berbeza dengan lagu balada perlahan yang sering saya bawakan secara solo sebelum ini.
“Bila bergerak dalam kumpulan, impaknya terasa lebih kuat. Pada masa sama, setiap anggota band Manusia juga ada pengalaman masing-masing dalam industri dan ia memudahkan proses menghasilkan karya bersama.
“Setiap anggota band Manusia juga iaitu Zack dan One sudah berbincang dan mendapat kebenaran dari kumpulan asal masing-masing untuk bergerak dan membuat persembahan bersama Manusia,” kata penyanyi lagu Dia Imamku dan Alasan Untuk Bahagia itu.
Mengulas single berjudul Dusta pula, kata Asfan, ia adalah bingkisan sulung kumpulan Manusia yang dilancarkan Januari lalu khusus buat peminat.
“Buat permulaan, kami mempertaruhkan single pertama berjudul Dusta yang mengangkat tema berat iaitu pengkhianatan dan kepalsuan dalam hubungan percintaan.
“Lagu ini mendapat sentuhan saya sendiri berserta lirik puitis oleh Noctra Vale di bawah Rusa Publishing Sdn Bhd,” katanya.
Single Dusta juga karya yang sarat dengan emosi, menggambarkan kekecewaan mendalam dan luka apabila kepercayaan disalahgunakan oleh insan yang tersayang.
Ia diterjemahkan menerusi bait-bait lirik jujur dan bersahaja seperti, “Kata maaf yang kau ucapkan, Hadir luka tangisan” dan “Kau langgar janji janji, Sungguhnya kau dusta” yang jelas menzahirkan konflik antara manisnya kata-kata berbanding perbuatan yang menyakitkan.