Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, meluahkan rasa syukur melihat perkembangan anak-anaknya, Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6, yang kini membesar dalam persekitaran yang positif.
Sekalipun mendakwa tidak berpeluang menemui anaknya sejak hampir dua tahun lalu.
Aliff sebaliknya enggan terus menoleh ke belakang, menurutnya sebagai bapa, kebahagiaan anak adalah keutamaannya dan dia sentiasa mendoakan agar urusan mereka sentiasa dipermudahkan.
“Saya rasa mereka (Ayden dan Ara) berada di satu persekitaran yang baik untuk membesar. Saya tidak pernah lupa untuk mendoakan mereka. Melihat mereka gembira, sebagai bapa, saya turut gembira,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka iQIYI, hari ini.
Bercerita lanjut mengenai tanggungjawabnya, Aliff mengakui ada perkara yang lebih selesa disimpan sebagai peribadi tanpa perkongsian umum.
“Perkara-perkara yang saya simpan itu, biar saya sahaja yang usahakan, insya-Allah. Selebihnya, saya hanya doakan yang terbaik sahaja untuk mereka.
“Saya betul-betul harapkan yang terbaik untuk mereka. Semoga mereka terus bahagia dengan aktiviti yang dilakukan. Ara pun sudah besar dan sudah pandai menari, masya-Allah,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam masa sama, pelantun lagu Sandar Padaku ini turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar terus memberikan sokongan moral buat dirinya dan anak-anak.
Apabila ditanya mengenai pendapat netizen berkenaan persamaan anaknya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, Aliff memilih untuk tidak mengambil pusing perkara berkenaan.
“Macam saya kata setiap yang dikatakan adalah pendapat. Setiap orang berhak memberikan pendapat mereka.
“Saya tidak boleh kawal pendapat orang. Apa yang saya boleh kawal hanyalah reaksi terhadap pendapat orang dan memilih untuk tidak fikir banyak tentang itu.
“Pada akhirnya tidak bergeraklah. Minta sangat di bulan baik ini untuk sebarkan kebaikan namun saya tidak dapat kawal dan hentikan apa yang orang cakap,” katanya.
Aliff sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Bella Astillah pada September 2016 dan berpisah pada 16 Mei 2019 namun rujuk kembali dan berpisah kali kedua pada Mac 2024.