ENGGAN terus terperangkap dalam kepompong watak ‘jahat’ yang klise, pelakon, penyanyi dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim nekad mempertaruhkan emosi dan pengalaman peribadi menghidupkan watak ‘wanita simpanan’ yang mempunyai pelbagai dimensi dan lapisan.

Sarimah, 48, turut menyifatkan naskhah terbarunya, Bila Cinta Menjadi Dosa bakal memberi perspektif berbeza buat penonton terutama membabitkan watak sebagai ‘penyondol’.

“Dia bukan sekadar nampak jahat atau penyondol semata-mata. Di sebalik setiap penyondol dan yang menyondol itu, ada ceritanya juga.

“Tak semua yang nampak jahat, itu jahat dan tak semua yang nampak baik, itu baik. Setiap orang ada ciri-ciri dan sisi yang berlainan, cuma yang kita selalu menilai adalah apa yang kita nampak luaran sahaja,” katanya.

Katanya, dia cuba menterjemahkan watak terbabit dengan pelbagai lapisan emosi yang mampu mencetuskan reaksi daripada penonton.

“Saya cuba membawa watak yang ada banyak dimensi dan lapisan. Mungkin pada awalnya penonton akan rasa terganggu apabila tahu tentang watak ini bagaimana.

“Tapi apabila mereka (penonton) mula mengenali dan faham mengapa dia menjadi sebegitu, mungkin akan timbul sikit rasa empati terhadap watak itu, insya-Allah,” katanya.

Memegang watak sebagai Eva, ‘wanita simpanan’ kepada Datuk Yusof (Zamarul Hisyam), Sarimah mempunyai pandangan tersendiri mengenai sisi kemanusiaan watak terbabit.

“Bagi saya, sama ada gelaran itu wanita simpanan, isteri, kakak atau ibu sekalipun, pertama sekali dia adalah seorang wanita. Seorang wanita yang mengharapkan kebahagiaan.

“Dia (Eva) melakukan semua itu demi diri sendiri dan anaknya. Sebagai seorang ibu, apa yang dia lakukan adalah untuk memastikan anak dia boleh ‘survive’ serta mampu untuk masuk ke universiti. Sebagai ibu bapa, kita akan lakukan apa sahaja demi melihat anak mencapai kejayaan.

“Cerita ini mengisahkan mengapa kita sebagai manusia kadang-kadang nampak seolah-olah naif, sanggup jatuhkan maruah sendiri atau kenapa tak utamakan agama dan sebagainya. Semuanya ada sebab yang tersendiri dan setiap orang mempunyai kisah hidup masing-masing,” katanya.

Mengakui pernah melalui fasa disakiti, Sarimah menyuntik segala pengalaman sebagai seorang wanita, ibu, isteri dan kakak ke dalam karakter bagi mengelakkan paparan watak yang klise.

“Saya rasa kita semua pernah rasa kecewa dengan seseorang dalam kehidupan. Itulah lumrah hidup. Sama ada pernah kena tipu dari segi kerja mahupun dalam hubungan.

“Jadi, saya bawa semua pengalaman ke dalam karakter ini untuk menghidupkannya. Paling penting, watak ini bukan sekadar satu lapisan sahaja. Saya cuba buang semua klise ‘orang jahat’ atau ‘penyondol’ yang biasa dilihat sebelum ini,” katanya.

Bakal menemui penonton pada Ramadan ini, Sarimah menekankan drama ini membawa mesej yang sangat mendalam mengenai kepercayaan dan pengorbanan yang sia-sia.

“Selalunya kita akan bekerjasama dengan orang yang kita rasa dia adalah orang yang baik. Kalau dari awal kita tahu orang itu jahat, sudah tentu kita takkan percaya.

“Mesej yang ingin disampaikan sempena bulan Ramadan ini adalah supaya kita lebih berhati-hati dengan sesiapa dan apa yang kita percaya. Ini kerana tak semua yang dijanjikan itu akan diberikan,” katanya.

Mengulas mengenai kemunculan semulanya dalam dunia seni, Sarimah meluahkan rasa syukur kerana dapat kembali fokus kepada bidang lakonan yang diminatinya sejak awal pembabitan dalam industri.

“Alhamdulillah, berkarya adalah nombor satu. Saya berlakon kerana saya memang cintakan lakonan. Sebenarnya, saya bermula dari drama, iklan dan filem sebelum saya lebih dikenali sebagai pengacara.

“Jadi, boleh dikatakan sekarang saya kembali kepada jalan pilihan pertama. Dengan hati yang terbuka, saya terima untuk bawa watak utama dalam drama ini.

“Ini adalah peluang yang sangat besar bagi saya dan insya-Allah saya takkan hampakan kepercayaan tersebut,” katanya.

Kongsi Sarimah, status sebagai isteri kerabat bukan alasan untuk dia hanya menunggu peluang datang bergolek.

Sebaliknya, dia mengamalkan sikap proaktif dengan menjaga hubungan baik bersama pengarah mahupun rakan industri.

“Kita tak boleh sombong dan tak boleh malu. Dari situlah datangnya rezeki. Kita kena bersikap terbuka dan kena berani meminta. Kita tak boleh hanya menunggu tawaran datang,” katanya.

Selain Sarimah, drama Bila Cinta Menjadi Dosa dibintangi Alya Iman, Maria Farida, Zamarul Hisyam, Siti Elizad, Zairi Aziz dan Nelissa Nizam.

Drama ini bakal ditayangkan slot Lestary TV3 bermula 27 Februari ini, setiap Jumaat hingga Ahad.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *