Nama Muaz Mohamed, 41, ketika ini bukan sekadar dikenali sebagai penyampai radio di Kool FM, tetapi juga seorang pengacara.

Apatah lagi menariknya personaliti bapa kepada dua anak ini sudah tentu kepetahannya ketika bercakap, merendah diri dan tidak bersikap berlagak.

Pemilik nama sebenar, Muazanazzuddin Mohamed ini boleh dikatakan begitu disenangi dengan perilaku yang baik serta sangat mudah melayani sesiapa sahaja terutama peminat yang mendekatinya.

Berbicara minat terhadap kerjaya penyampai radio, katanya yang mesra disapa Muaz, sejak dari kecil dirinya memang sudah dekat dengan radio disebabkan bapanya, Allahyarham Mohamed Atan, 65.

“Saya minat pada radio sejak dari kecil lagi sebab arwah ayah seorang peminat radio. Waktu itu hanya ada radio RTM sahaja. Jadi memang ayah juga minat muzik dan banyak lagu lama saya belajar serta kenal daripada dia.

“Waktu berada dalam kereta ketika ayah memandu pun, memang radio jadi pilihannya. Sebab itu, saya rasa sejak dari dulu lagi saya sudah teringin atau suka dengan radio.

“Saya juga suka dengar lagu. Saya suka apabila deejay itu bercakap dan dari situlah saya rasa sikit-sikit dan lama-lama mula timbul minat untuk menjadi seorang penyampai radio,” jelasnya.

Ditanya juga pengalaman kali pertama bertugas di konti radio, Muaz berkata, dia mula berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di stesen Muzikfm pada 2008.

“Kalau tanya pengalaman tak dapat dilupakan ketika bertugas di konti (radio), sudah tentu ada perasaan takut, gementar dan rasa macam mana okey ke untuk kali pertama orang dengar suara aku?.

TRIO (dari kanan) Muaz, Haiza dan AG kendalikan PHD di Kool FM pada 2017.
TRIO (dari kanan) Muaz, Haiza dan AG kendalikan PHD di Kool FM pada 2017.

“Semuanya kita rasa dalam berjaga-jaga. Tapi, saya rasa lama-kelamaan sebab benda yang kita minat dan bila balik ke rumah, saya ingat lagi emak, Rohana Jasman, 65, akan jadi orang yang paling kuat mengkritik.

“Dia akan kata okey kalau suara saya macam ini dan tak okey sekiranya macam itu. Dari situ saya tanya juga kepada penyampai radio senior, okey ke bercakap begini, baguskah saya kendalikan segmen itu?

“Alhamdullillah, saya akhirnya dapat juga keyakinan diri dan saya tahu bagaimana cara untuk menjadi penyampai radio yang bagus. Prosesnya biasa, sebab pada awal itu kita akan takut salah.

“Sebab bila kita takut nak buat salah, itulah yang akan buat kita terbatas untuk kreativiti. Jadi, saya perlu lawan rasa takut itu dan saya ingat lagi, ketika bermula di Muzikfm pada 2008, saya bertugas untuk segmen malam iaitu Pilihan Bersama,” katanya.

Turut berbicara soal keperibadiaan dirinya sama ada seorang introvert yang berubah kepada extrovert, Muaz memberitahu sejak kecil dia adalah individu extrovert.

“Daripada segi keperibadian, saya seorang extrovert iaitu suka bercakap, cepat mesra dan ramah. Sebab memang dari kecil dulu, mak cik-mak cik saya kalau marah dan benci bila tengok perangai saya.

“Asyik suka menyampuk sahaja cakap orang tua. Jadi masa itu, memang tak berhentilah saya akan bertanya bermacam-macam soalan kepada mereka.

MUAZ (depan kiri) ketika berkhidmat sebagai penyampai radio di Nasionalfm.
MUAZ (depan kiri) ketika berkhidmat sebagai penyampai radio di Nasionalfm.

“Saya masih ingat lagi, mak cik-mak cik saya akan marah kalau saya masuk campur orang tua bercakap. Jadi, dari situlah saya rasa memang dari kecil sudah suka bercakap.

“Malah, ketika belajar di sekolah pun sama macam itu dan akhirnya saya sedar yang diri saya memang suka bercakap. Mungkin sebab itu kelebihan saya termasuk suka menghiburkan orang,” katanya.

Menyentuh juga mengenai cabaran sebagai penyampai radio, Muaz tidak menafikan ia adalah satu bidang kerjaya yang sememangnya susah walaupun ada orang kata senang sahaja untuk bercakap.

“Dalam soal bercakap, tidak dinafikan semua orang boleh bercakap. Tetapi bagaimana nak mendapat perbezaan ataupun kepercayaan orang, itu yang memerlukan kita perlu ada pengalaman.

“Saya rasa kita nampak senang apabila bercakap tanpa ada ilmu. Namun sebenarnya sebagai penyampai radio, kita seumpama seorang pencerita. Kena ada pendahuluannya, ada isinya dan juga kena ada penutupnya.

“Semua gabungan ini perlu mantap. Maksudnya daripada segi penyampaian itu, kita kena sentiasa ingat ‘orang nak dengar tak kalau aku cakap macam ini’. Ia bukan cakap syok sendiri.

“Sebab bila cakap syok sendiri itu yang akan buat orang muak dengan kita. Jadi, kita kena tahu waktu bila kita berhenti bercakap, masa bila kita nak buat kelakar, bila waktu kita nak bersedih,” katanya lagi.

Muaz turut memaklumkan satu lagi cabaran adalah untuk kekal relevan juga antara cara paling sukar, namun alhamdulillah, dia bersyukur kini sudah masuk tahun ke-18 berkhidmat sebagai penyampai radio.

Katanya, dari 2008 hingga kini sebagai penyampai radio, dia memulakan langkah di Muzikfm, kemudian NasionalFM sebelum berhijrah ke Kool FM di bawah Media Prima Audio (MPA) pada 2017 dan kekal hingga sekarang.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *