Kuala Lumpur : Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia.
Sumbangan itu adalah daripada tiga pihak iaitu Inteam sendiri, Datuk M Nasir dan penganjur acara, Icon Entertainment.
“Ini adalah sebahagian daripada sumbangan ikhlas yang dimulakan oleh pihak penganjur acara untuk dapat sama-sama berkongsi dengan persatuan kebajikan ini,” kata anggota Inteam, Rahim mewakili kumpulannya.
Replika cek disampaikan oleh M Nasir sebelum mereka meneruskan persembahan bersama menerusi lagu popularnya, Bonda.
Selain M Nasir, Inteam turut mempersembahkan lebih 25 lagu di samping penampilan artis jemputan antaranya Nazrey Johani dan Zizi Kirana.
Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih bukan sekadar sebuah konsert malah malam mengimbau kenangan menerusi lagu-lagu pernah dipopularkan kumpulan nasyid terkenal itu.
Inteam yang dianggotai Syah, Hazamin, Rahim dan Hisyam menyampaikan lagu seperti Dia Muhammad, Kasih Kekasih, Siti Khadijah, Rabiatul Adawiyah selain tiga lagu yang dipersembahkan secara medley iaitu Kasihku Abadi, Ratu Syahadah dan Satukan Kami di Syurga, Nur Kasih.