Kuala Lumpur : “Kita buat kerja berkhidmat untuk masyarakat. Jangan anggap kita kerja kuli. Bukan semua orang nak buat kerja ini. Tak semua sanggup, konon malulah,” kata Tony, pemain dram kumpulan Khalifah.
Tony atau Ahmad Sharoni Mohd Redzwan, 48, berkata, dia sudah lapan tahun bekerja sebagai pekerja am di syarikat pembersihan SWM (Southern Waste Management) cawangan Kluang, Johor dan berbangga dengan pekerjaannya.
“Saya bersyukur dapat cari rezeki halal untuk keluarga. Penyelia saya, Shukor pun sangat baik. Sebelah petang pula saya buat kerja-kerja kampung untuk cari rezeki.
“Ada juga orang kenal saya sebagai pemuzik kumpulan Khalifah. Saya selamba saja. Apa ada hal. Lagipun saya bukan baru kerja sebagai pekerja pembersihan.
“Tugas saya sebagai pembersih longkang tersumbat. Saya ini dapat sesuaikan diri dengan masyarakat. Saya boleh makan mi segera atas tong sampah. Ia perkara biasa,” katanya kepada Harian Metro.
Baginya, tiada masalah pun memilih pekerjaan yang pada pemikiran segelintir masyarakat bergelumang dengan kekotoran ini.
“Bagi saya, kalau letak isu malu, susahlah nak cari makan. Hidup ini kan keras, kenalah keras hati kena hadap semua apa yang berlaku ini.
“Tak ada rasa pelik tak ada rasa malu atau apa, ikhlaskan kerana Allah Taala. Kan semua Allah dah tentukan,” kata Tony yang mempunyai lapan anak dan seorang cucu.
Menurutnya lagi, dia bersyukur masyarakat sekitar memberi galakan pada pekerjaannya.
Mengulas mengenai karier muziknya, Tony yang kini bergelar anggota tunggal Khalifah berkata, dia akan turun ke Kuala Lumpur untuk latihan dan sekiranya ada show.