Kuala Lumpur: “Kalau dulu boleh berjaga tengok bola lewat malam, harapnya bolehlah juga untuk anak.
“Tapi takut juga sebab kebelakangan ini, bola tak lepas separuh masa pun saya dah tidur,”.
Demikian kata pelakon dan pemuzik, Qi Razali mengenai persediaan untuk menguruskan cahaya mata sulungnya.
Menurutnya, isterinya Wardah Mahbob dijangka melahirkan cahaya mata mereka tidak lama lagi.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali mengakui tahap persiapannya kini sudah hampir lengkap, namun tidak menafikan wujud perasaan gementar bercampur teruja menanti detik bergelar bapa.
“Saya banyak belajar perkara baharu sepanjang proses persiapan, termasuk hal-hal kecil berkaitan kelengkapan bayi.
“Tahap bersedia itu sampai tahap dah beli semua lampin yang tiada bahan kimia, tiada sabun dan katil bayi pun sudah ada. Barang-barang asas semua sudah tersedia.
“Cuma baru sekarang saya tahu baju bayi sebenarnya ada saiz kosong tahun rupanya. Sebelum ini ingat saiz biasa saja, bila tengok label ‘0 tahun’, rasa macam wah, baru tahu,” katanya.
Qi yang ditemui pada Malam Gala filem Pemuja terbitan Metrowealth malam tadi, tidak menafikan sering ditanya mengenai kesediaannya berjaga malam untuk menguruskan bayi nanti.
“Ramai kawan dah cakap fasal mata panda. Saya rasa faham kenapa awal-awal itu bapa yang banyak berjaga sebab ibu baru lepas bersalin kena rehat.
“Kebimbangan utama saya bukanlah mengenai penjagaan bayi semata-mata, sebaliknya keselamatan isteri ketika berada di dalam bilik bersalin nanti.
“Saya lebih selesa merujuk kepada rakan-rakan terdekat untuk mendapatkan tip berbanding terlalu bergantung kepada video di YouTube yang kadang-kala merumitkan keadaan.
“Paling risau ialah keselamatan masuk ‘labour room’. Itu memang kita takut. Kita doa saja yang baik-baik dan pastikan semua selesa. Orang kata jangan ‘overthink’, segalanya akan datang secara semula jadi,” katanya.
Mengulas pemilihan nama, Qi memberitahu dia dan isteri sepakat memilih gabungan nama klasik Melayu dan sedikit sentuhan moden bagi mengekalkan susur galur keturunan.
“Jantina tak pasti lagi tapi mungkin perempuan walaupun baby sering ‘malu-malu’ sembunyikan jantina ketika pemeriksaan imbasan dilakukan.
“Doktor cakap macam ‘Princess’. Tapi sebab bayi tak banyak tunjuk, dia sendiri tak dedahkan sangat, asyik tutup badan.
“Tentang nama, ada pilihan bersama. Kita nak dia ada perasaan datang dari keturunan Melayu. Dia boleh jadi diri dia tapi kena ada juga asal usul,” katanya.
Ditanya mungkin akan dinamakan Anggun, Qi mengakui sukakan nama itu dan mungkin akan menambah nama lain dibelakangnya.
Sementara itu Pemuja arahan Azmir Affandi menampilkan Qi, Yasmin Hani, Namron dan Maria Farida akan mula ditayangkan di pawagam bermula esok.