SEBUT sahaja nama Eddie Hamid, ramai yang mengenalinya sebagai komposer lagu loghat Kelantan terkenal walaupun pernah bergelar penyanyi.
Namun, minat menyanyi dalam diri Eddie atau nama sebenar, Abdul Hamid Adenan, 63, tidak pernah pudar dan adakala dia menyalurkan vokal menerusi lagu duet dihasilkannya.
Pada Disember lalu, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta pada majlis anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2025, ia disifatkan rezeki oleh Eddie.
Tidak menafikan kejayaan diraih itu bertitik tolak daripada lagu Bey Soba Bey ciptaannya yang dinyanyikan pasangan duet, Den Manjo dan Eda Ezrin, ternyata penerimaan baik pendengar tidak diduga.
“Saya sebenarnya tak sangka pun lagu loghat Kelantan boleh jadi popular di luar kawasan Pantai Timur. Ingatkan orang Kelantan sahaja yang suka, tetapi rupanya satu Malaysia.
“Tapi, inilah rezeki lagu Bey Soba Bey atau judul asal, Cinta Setandan Pisang. Apapun, nantikan sambungan lagu ini yang berjudul Adik Saye Abe Sore daripada Den dan Eda.
“Harapan saya semoga lagu baharu ini (Adik Saye Abe Sore) akan dapat sambutan baik pendengar apabila dilancarkan walaupun proses rakaman tertangguh agak lama,” katanya.
Ditanya juga mengenai perkembangan terkini Eda selepas dibebaskan dari Penjara Narathiwat, Thailand pada September 2025, Eddie berkata, wanita itu semakin laris.

Katanya, walaupun Eda pernah ditangkap dengan kesalahan terkait barangan terlarang pada November 2024, tetapi penyanyi wanita itu masih mendapat sokongan baik peminat.
“Setahu saya, jadual Eda sangat sibuk dengan memenuhi tawaran persembahan nyanyian yang tidak putus diterimanya hingga ke luar Kelantan.
“Alhamdulillah, rezeki dia (Eda) semakin laris dan saya dapati isu penangkapan serta penjara yang pernah dihadapi itu sama sekali tidak memberi impak negatif pada karier seninya.
“Jadi, saya tumpang gembira bila tengok Eda berjaya. Peminat masih mahu menyokongnya kerana bakat. Begitu juga dengan Den, tawaran menyanyi dia pun banyak juga,” katanya.
Katanya lagi, masyarakat masa kini dilihat sudah semakin bijak dalam membuat penilaian dengan tidak mencampur adukkan antara hal peribadi seseorang penyanyi dan bakat.
“Sebagai komposer, macam yang pernah saya kata memang tiada masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi yang inginkan lagu daripada saya.
“Apatah lagi, Eda dan Den yang memang saya sudah kenal lama dan tahu tahap vokal mereka. Bahkan, ketika kami bekerjasama pun senang untuk berbincang serta tukar pendapat,” ujarnya.
Malah, baru-baru ini Eddie juga bekerjasama dengan penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima menerusi lagu terbaharu, Bey Kelik La Bey yang bergenre dangdut moden dan semakin mendapat sambutan.