Kuala Lumpur: Pelakon Kamal Adli, 40, mendapat pelbagai kata-kata semangat daripada rakan selebriti dan netizen yang meminta dia terus kuat, sabar dan reda dalam menghadapi ujian kehidupan dilaluinya.
Menerusi hantaran terbaharu dikemas kini di Instagram (IG), Kamal didapati memuatnaik sekeping gambar dengan kapsyen ditulis Hancur ditengah-tengahnya yang mungkin menggambarkan situasi keretakan hatinya ketika ini.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan pengguna media sosial lain seakan memahami apa dimaksudkan oleh Kamal daripada hantaran ringkas yang dimuatnaik berkenaan.
“Allah uji sebab Allah sayang! Stay strong my brother,” tulis penyampai radio, Radin.
“Kuat Mal (Kamal),” ujar Amir Raja Lawak
“Banyakkan bersabar Kamal..doa, zikir, selawat jangan tinggal.. minta Allah berikan kekuatan dan ketenangan,” tulis netizen.
“Tak apa sekurangnya Kamal dah pertahankan perkahwinan..moga yang baik-baik selalu buat Kamal dan Hawra,” kata seorang warganet.

Semalam, Kamal sah bercerai talak satu dengan bekas isteri, Uqasha Senrose, 34, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 12.56 tengah hari selepas empat tahun hidup bersama.
Tidak menyalahkan mana-mana pihak, Kamal turut mengucapkan terima kasih kepada Uqasha kerana pernah sudi menerima dirinya sebagai suami, termasuk mengajar kehidupan berumah tangga.
Mengakui menghargai segala dipelajari itu, Kamal menyifatkan bekas isterinya juga banyak mengajar dia bagaimana menjadi lelaki serta memohon maaf kepada Uqasha jika pernah mengguris hati wanita itu.
Turut meletakkan segala kesalahan kepada dirinya sendiri, Kamal memaklumkan jika dia seorang suami yang baik, tidak mungkin perkara seperti cerai itu berlaku berikutan gagal membahagiakan isteri.
Sebelum itu, Uqasha bertindak memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Syariah pada 1 Oktober 2025 lalu atas alasan sudah tiada persefahaman dalam perkahwinan mereka.
Kamal dan Uqasha bernikah pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat di Janda Baik, Pahang serta dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.