Kuala Lumpur: Kemenangan bersama Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), semalam adalah keputusan sebulat suara juri.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dalam satu temu bual.
“Saya terkejut apabila dipanggil oleh juri. Pandangan juri menyatakan bahawa kedua-duanya (Syafiq dan Syazwan) memang layak (menang). Bahkan, mereka sangat hebat dalam menjayakan watak masing-masing.
“Jadi, juri-juri mengatakan boleh tak kali ini diberikan kemenangan kepada dua calon. Markah daripada kesemua juri pun bersepakat untuk memberi kemenangan kepada kedua-dua calon itu.
“Saya pun meneliti perkara itu, kena pastikan ia dinilai betul-betul sebab apabila ia diumumkan, ia takkan menimbulkan sebarang isu,” katanya.
Katanya, selepas keputusan dibuat, FINAS dan pihak penganjur sepakat untuk menyediakan hadiah buat kedua-dua pemenang.
“Saya kemudiannya berbincang dengan Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac dan pengurusan, kerana kami perlu sediakan dua piala dan hadiah berasingan.
“Ia bukanlah kemenangan yang dikongsi hadiahnya sebab ada dua piala untuk kategori ini. Kedua-dua mereka masing-masing menerima RM5,000,” katanya.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama FFM memberikan kemenangan kepada dua calon dalam satu kategori.
Di Pesta Filem Malaysia keenam (sebelum ditukar nama kepada FFM) pada 1986, dua pelakon, Allahyarham Arshad Mahuri dan Allahyarham Pyan Habib diumumkan sebagai pemenang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.