Kuala Lumpur: Pelakon, Salina Saibi, 43, memaklumkan jurusolek produksi Skop Production Sdn Bhd, Solleh Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Kak As kini dirawat di hospital akibat serangan strok otak sejak 8 September lalu.

Salina berkata, tekanan darah tinggi Solleh naik mendadak hingga mendapat strok otak kerana tekanan emosi yang teruk selepas menjadi mangsa ‘Scammer’.

“Saya berasa sedih melihat keadaannya yang terlantar ketika melawatnya di hospital baru-baru ini kerana hubungan kami sangat rapat seperti adik-beradik.

“Kak As sudah berkhidmat dengan Skop hampir 20 tahun dan saya sudah kenal dengannya sejak berlakon dalam drama bersiri Gerak Khas selama 15 tahun.

“Dia juga sangat baik dan rapat dengan semua pelakon dan disayangi kru produksi Gerak Khas kerana dia suka memasak di set,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai perkembangan kesihatan Solleh lagi, kata Salina, dia sudah dipindahkan ke wad biasa tetapi keadaannya masih tidak stabil dan bergantung dengan bantuan oksigen.

“Saya dimaklumkan doktor merancang untuk melakukan pembedahan di bahagian otak tetapi masih tunggu kebenaran dari waris yang juga anak saudaranya di Johor.

“Saya juga berasa risau kalau dia ditidurkan nanti. Dia memang nak bercakap bila saya datang melawatnya tapi tak jelas.

“Saya juga berasa sebak bila saya buka lagu Gerak Khas dia toleh kepala nak tengok,” katanya.

Sementara itu, ditanya kes ‘scammer’ pula, kata Salina, dia difahamkan Solleh mengalami kerugian mencecah RM85,000 akibat menjadi mangsa penipuan berkenaan.

“Saya diberitahu rakan baiknya, duit Kak As sebanyak RM90,000 dalam akaun kini hanya tinggal RM5,000 sahaja akibat ditipu ‘scammer’ yang juga warga asing.

“Apa yang saya boleh katakan kes ‘scammer’ itu masih dalam siasatan pihak berkuasa ketika ini,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *