KUALA LUMPUR: Filem mengangkat kisah remaja Palestin berdepan serangan tentera Israel, All That’s Left of You diumum pemenang utama Malaysia Golden Global Awards (MGGA) Ke-8 pada malam meraikan pembikin filem sejagat di Zepp Kuala Lumpur di sini, kelmarin.
Anugerah itu juga menyaksikan, penulis dan pengarah naskhah sama, Cherien Dabis iaitu sutradara wanita Muslim kacukan Palestin-Jordan yang dibesarkan di Omaha, Nebraska, Amerika Syarikat (AS) diumum pemenang kategori Lakon Layar Terbaik.
Dabis yang turut membintangi All That’s Left of You dengan memegang watak Hanan, menggabungkan elemen politik, sejarah dan emosi keluarga melalui penceritaan mendalam dalam buah tangannya itu.
Filem Pallas Film, Twenty Twenty Vision dan AMP Filmworks dari Jerman dan Cyprus yang menggunakan bahasa Arab ini mengangkat kisah remaja Palestin bernama Noor yang berdepan tentera Israel dalam siri protes di Tebing Barat.
Mengikut plot pengkisahan, ibu Noor, iaitu Hanan menceritakan sejarah keluarga mereka yang menyaksikan pemindahan paksa datuknya dari Jaffa pada 1948, menelusuri tiga generasi yang bertahan sepanjang lebih 75 tahun.

Sebuah lagi filem bertemakan Asia Barat, iaitu Red Path membawa pulang trofi Pengarah Terbaik menerusi Lotfi Achour dan trofi Anugerah Harapan Baharu.
Achour, iaitu sutradara dari Tunisia menampilkan pendekatan artistik menggabungkan teater dan sinema.
Red Path menyelami tema trauma dan ingatan secara puitis, menyerlahkan sudut pandangnya yang unik dalam dunia sinema kontemporari.
Selain itu, MGGA Ke-8 menyaksikan Isabelle Stachtchenko memenangi Anugerah Sinematografi Terbaik menerusi Universal Language.
Visual memukau yang dihasilkan menembusi sempadan budaya, menyampaikan emosi manusia sejagat secara jelas dengan keindahan luar biasa.
Dalam kategori lakonan, Mahmood Bakri merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem To a Land Unknown, manakala Juli Grabenhenrich dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik melalui Paternal Leave.
Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menjadi milik Han Haolin untuk wataknya dalam My Friend An Delie, manakala Park Mi-Hyeon membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Winter in Sokcho.
Bagi kategori teknikal, Isabelle Stachtchenko meraih Anugerah Sinematografi Terbaik untuk Universal Language dan filem From Island To Island memenangi Anugerah Pilihan Penonton.
MGGA Ke-8 turut mengiktiraf ikon perfileman dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada bintang legenda Hong Kong, Thomas Tam atau lebih dikenali sebagai Ti Lung sebagai penghargaan atas sumbangan besarnya terhadap sinema Asia selama berdekad.
Ti Lung dikenali menerusi peranannya dalam filem wuxia klasik dan drama emosi, sekali gus dianggap pencetus inspirasi kepada ramai pembikin filem dan penonton.
Sementara itu, bintang filem Indonesia, Reza Rahadian menerima Anugerah Kecemerlangan dalam Pencapaian Perfileman.
Majlis anugerah berdurasi dua jam itu dihoskan Alvin Anthons dan Chrystina Ng serta diserikan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Datuk Hans Isaac, Diana Danielle, Zizan Razak, Abhilash Chandra, Mimi Lana dan Syafiq Kyle selaku penyampai anugerah.
MGGA ke-8 dianjurkan sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-8 yang berlangsung dari 19 hingga semalam, bagi meraikan kecemerlangan filem tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, pengasas MIFFest, Joanne Goh, berkata biarpun tiada karya tempatan memenangi sebarang kategori dipertandingkan pada MGGA Ke-8, beliau yakin ia bukan pengakhiran.
Sebaliknya, Goh percaya kegagalan meraih trofi menjadi batu loncatan untuk setiap pengkarya tempatan mempamerkan bakat, sekali gus mencipta kejutan pada edisi anugerah seterusnya.
“Kami terima kira-kira 700 filem dari seluruh dunia, terutama dari Asia Tenggara termasuk Malaysia. Proses penilaian bermula dengan juri saringan awal, disusuli separuh akhir dan akhir sekali, juri utama.
“Malaysia tidak terpilih kali ini. Saya tahu itu sesuatu yang menyedihkan. Tetapi ini bukan pengakhiran.
Saya percaya pembikin filem Malaysia masih mempunyai banyak potensi dan harapan.
“Saya berharap pembikin filem Malaysia terus berkarya dan kembali menyertai edisi akan datang. Mesej saya kepada pembikin filem Malaysia usah putus asa. Saya percaya kita mampu hasilkan karya terbaik,” katanya.
Goh berkata, bagi kriteria pencalonan, pihaknya fokus kepada pembikin serta bakat baharu yang dapat menampilkan idea segar dan terkini.
“Untuk kategori bukan pertandingan (non-competition), tiada masalah kerana tahun ini kami meraikan ulang tahun kelapan festival ini serta menampilkan 65 filem antarabangsa dan tempatan.
“Saya juga bangga kerana tahun ini kami bekerjasama dengan 10 negara Asia untuk segmen Asean On Screen dan menayangkan enam filem yang cukup mengagumkan,” katanya.
Pada masa sama, Goh menjelaskan, syarat ditetapkan untuk kategori pertandingan adalah filem dicalonkan mesti daripada pengarah baharu.
“Filem hasil pengarah sudah terkenal atau filem lakonan aktres terkenal seperti Tan Sri Michelle Yeoh tidak layak untuk kategori ini.
“Namun, kami tetap menghargai penyertaan mereka dalam kategori khas atau tayangan istimewa.
“Kami juga bangga kerana juri terdiri daripada tokoh hebat antarabangsa seperti Reza dari Indonesia, Jennifer Yu dari Hong Kong dan wakil Malaysia seperti Diana Danielle,” katanya.
Goh berkata, kerjasama peringkat antarabangsa diperkukuhkan dengan menampilkan Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) Ke-25 sebagai sebahagian daripada MIFFest 2025.
“Untuk penganjuran tahun ini, mereka turut bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU). Ini bermakna ada 17 negara dari EU yang terbabit dalam acara anugerah ini,” katanya.
Pada penganjuran MGGA Ke-7, tahun lalu filem tempatan, Abang Adik merangkul dua anugerah utama.
Filem arahan Jin Ong yang mengisahkan hubungan erat antara dua anak yatim piatu tanpa pertalian darah itu menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.