Kuala Lumpur: Penyanyi Rahmad Tohak, 55, memaklumkan reda menerima ketentuan takdir pemergian anak bongsunya hasil perkahwinan dengan bekas isteri, pelakon Ainina Ahmad B iaitu Nur Ara Elisya, sekitar jam 2 petang semalam.

Rahmad berkata, Allahyarham Nur Ara Elisya baru sahaja meraikan ulang tahun ke-16 pada 18 Jun lalu dan keadaannya ketika itu agak ceria.

“Dia sebenarnya kronik masa lepas pembedahan tulang belakang pada Disember lalu. Tiga bulan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), keadaannya masa itu kronik. Nak bernafas pun susah. Terpaksa tebuk leher atau istilahnya trakeostomi.

“Kemudian dia lepas fasa kronik. Dia dah pulih dan dah boleh balik dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) pada Mac. Cuma temujanji yang sepatutnya dia buat pada Mei lalu, kami terlepas.

“Jadi kita letakkan satu tarikh baru iaitu Jun. Daripada temujanji ini dia datang semula ke hospital. Mungkin dari situ dia kena jangkitan dan balik itu dia mula demam,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya sehari selepas temujanji, anaknya demam dan esoknya dikejarkan ke hospital semua dan doktor mengesan paru-parunya berkahak.

“Seminggu dalam wad, doktor bagi antibiotik semua tapi tak sembuh juga. Jangkitan dia itu mula merebak sebab dia punya kes dalam ICU sebelum ini paru-paru juga. Jadi mungkin ada kuman-kuman yang baru.

“Terpaksa lalui pelbagai ujian lagi untuk kesan kuman yang sesuai dengan antibiotik dia. Dia tak dapat sembuhkan juga. Keadaan paru-paru dia makin kronik. Doktor masukkan dia semula ke ICU pada 20 Jun.

“Nur Ara Elisya susah nak bernafas hingga terpaksa buat CPR untuk jantung dia digerakkan balik kerana jantung ‘drop’ (menurun) amat kronik. Pada Sabtu keadaannya mula ok, dah kembali stabil,” katanya.

Rahmad berkata, pada pagi semalam anaknya kembali mengalami masalah pernafasan dengan doktor-doktor utama kebanyakannya cuti dan anaknya melalui proses CPR sekali lagi pada tengahari.

“Sesi sekitar 20 hingga 25 minit. Selepas itu Ainina dipanggil oleh doktor yang beritahu Nur Ara Elisya tak dapat ‘recover’ dan nak teruskan atau tak? “Jadi kita pun putuskan dia dah ‘survive’ terlalu lama. 25 minit kalau tak boleh, kita nak buat apa lagi kan? Ainina pula saya dah brief dia, kita dah beri yang terbaik pada Nur Ara Elisya.

“Kalau apa-apa berlaku pada dia jangan paksa doktor buat sesuatu yang anak kami tak sanggup. Dia sangat kuat dan tak pernah mengeluh pun. Dia sentiasa nampak senyum dan ceria sepanjang masa walaupun dalam kesakitan.

“Saya dan Ainina berbincang dan berkata pada Nur Ara Elisya, kalau adik rasa dah sampai masa untuk pergi, kami rela melepaskan dan reda,” katanya.

Perkahwinan mereka turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan iaitu Nur Arieana.

Jenazah Nur Ara Elisya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah, jam 11 pagi, hari ini dan turut dihadiri oleh rakan-rakan artis antaranya Ameng Spring, Zamani, Shahrul Ekamatra, Rashib Ekamatra, Amir Ukays, Afee Utopia dan ramai lagi.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *