Bagi memastikan nama terus relevan serta menjaga nama baiknya dalam dunia hiburan pelakon Aeril Zafrel, 38, menegaskan dia tidak akan sesekali melakukan sebarang hantaran atau mengikut trend bersifat negatif.
Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari berkata, keputusan itu dibuat kerana dia tidak mahu anak-anaknya turut menjadi sasaran kecaman pengguna media sosial.
“Saya memang elakkan buat perkara negatif walaupun saya tahu ia mungkin boleh melonjakkan jumlah tontonan di media sosial.
“Tapi saya bimbang jika saya buat, nanti anak-anak pula yang akan terkena tempiasnya,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Laknat yang berlangsung di GSC Midvalley, Kuala Lumpur.
Menurut Aeril, dia juga sudah jarang menghasilkan kandungan video di media sosial seperti dahulu disebabkan faktor usia yang semakin meningkat.
Dalam masa sama, Aeril sempat menasihati golongan pempengaruh di TikTok agar tidak sewenang-wenangnya mencipta kandungan berunsur sensitif atau negatif semata-mata untuk meraih populariti secara pantas.
“Dulu memang saya aktif di TikTok, tapi sekarang dah kurang mungkin sebab dah tak larat macam dulu.
“Saya faham ada dalam kalangan mereka sengaja mereka-reka cerita demi menaikkan jumlah tontonan dan perkara ini sudah menjadi satu trend.
“Bila nama dah mula tenggelam, mereka perlukan satu isu untuk naikkan semula populariti dan dari situ mereka boleh jana pendapatan. Tapi kalau boleh, elakkanlah buat begitu,” katanya. Untuk rekod, Aeril berkahwin dengan pelakon Wawa Zainal pada 2013.
Pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu, Ahmad Fakhruddin Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 9, Attar,11, Ayya Sofia, 5 dan Muhammad Fahri, 4 tahun.
Dalam perkembangan lain, Aeril bakal tampil dengan filem terbaharu lakonannya berjudul Laknat.
Selain Aeril filem itu turut dibintangi pelakon lain seperti Puteri Balqis, Jalil Hamid, Amerul Affendi, Naque Ariffin, Noorkhiriah dan Mila Mohsin.
Laknat akan mula ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 5 Jun depan.