Kuala Lumpur: Hubungan persahabatan dan kerjasama baik membabitkan selebriti popular tanah air membawa tuah kepada jenama Rizman Ruzaini (RR).
Antara selebriti yang pernah mengangkat serta diberi kepercayaan oleh jenama popular ini adalah Fattah Amin, Mimi Fly, Hael Husaini, Naderaa, Noryn Aziz, Suki Low dan ramai lagi.
“Konsep yang sama kami gunakan bila mula bertapa sejak 20 tahun lalu, apabila menggunakan artis terkenal tanah air untuk memperagakan rekaan kami.
“Disamping mahu melihat pakaian kami diterima barisan selebriti antarabangsa pula,” ujar Rizman.
Tidak sekadar mahu membawa budaya Malaysia ke persada dunia , jenama Rizman Ruzaini juga yakin ini adalah waktu yang tepat untuk menjadikan rekaan mereka kini sebagai sumber inspirasi buat pereka muda negara.
Berkongsi cabaran sepanjang menceburi bidang fesyen, kata Rizman lagi mewakili jenama ini antara yang menjadi fokus utama adalah untuk memastikan setiap rekaan mereka diterima baik sekali gus memberi ruang buat pereka mengukuhkan jenama ini.

“Setiap kali diberi peluang untuk membuat persembahan di pentas antarabangsa, memang kami akan membawa Malaysia bersama.
“Bagi kami ini adalah cara untuk memastikan Masyarakat antarabangsa melihat Malaysia.” katanya.
Tambahnya, selepas 20 tahun bertungkus lumus membina nama, mereka kini yakin untuk memasarkan Rizman Ruzaini buat masyarakat antarabangsa.
Tambahnya melalui keyakinan yang diberikan pelanggan, mereka kini sudah bersedia untuk membuka butik pertama mereka di Dubai dalam melengkapkan permintaan pasaran di peringkat global.
“Memang dalam perancangan untuk Rizman Ruzaini membuka sebuah butik di Dubai, malah ketika ini juga kami sudah mempunyai barisan pelanggan terutamanya dari Timur Tengah yang memang banyak memberi sokongan.
“Jadi pembukaan butik ini kelak secara tidak langsung dapat memenuhi permintaan dari pelanggan di sana,” kata Rizman yang melakukan pelbagai perancangan dalam memastikan jenama itu kekal relevan.