KUALA LUMPUR: Usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali Ridzuan Ridzokumura, 50, memberitahu anak tunggalnya, Sky Taizo Okumura masih bersedih selepas kehilangan ibu tercinta, Akiko Okumura, Jumaat lalu.

Ridzuan berkata, Sky Taizo, 13, masih dibelenggu kesedihan dan masih menangis setiap kali teringat Allahyarham ibunya.

“Setiap hari Sky menangis, kejap okay, kejap ingat mummy, menangis lagi. Ya Allah, kuatnya dugaan hidup ini, abang terasa abang seperti burung yang kehilangan sebelah sayap,” katanya menerusi media sosial.

Ridzuan berkata, sebagai bapa, dia akan mencuba sebaik mungkin memberikan kekuatan kepada Sky.

Walaupun dia sendiri berduka, dia cuba menyembunyikan perasaan itu. Tidak terkecuali tanggungjawabnya kini bertambah besar untuk memastikan anaknya terus kuat dan dapat meneruskan kehidupan dengan semangat yang baru.

Dia juga pernah berkongsi anaknya masih mencari Akiko setiap kali bangun tidur dan meluahkan mengapa Tuhan mengambil ibunya pada usianya baru 13 tahun.

Malah, pelakon, Zarina Zainuddin yang juga saudara Ridzuan, cuba menceriakan Sky Taizo dengan menyediakan juadah sahur seperti mana yang selalu disediakan ibunya,

Zarina menyediakan beberapa jenis juadah sahur sushi khas untuk Sky dan buah seperti tembikai dan mangga. Sky yang berbaju merah pula dilihat cuba menikmati sahur yang disediakan.

Melihatkan ruang komen, golongan selebriti netizen turut bersimpati dengan nasib yang dialami Sky yang sukar menerima apa yang berlaku.

Jumaat lalu, Ridzuan memaklumkan isterinya meninggal dunia, namun punca kematiannya tidak didedahkan.

Jenazah Akiko Okumura atau Nur Aishah Abdullah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, Selangor pada pagi Sabtu.

Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko yang juga seorang wanita warga Jepun pada Februari 2009.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *