Los Angeles: Bintang utama filem The Brutalist, Adrien Brody menepati ramalan apabila diangkat Pelakon Lelaki Terbaik di Academy Awards ke-97 atau Oscars yang disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Pelakon berusia 52 tahun itu mengatasi saingan empat calon lain iaitu Timothee Chalamet yang bersaing menerusi filem A Complete Unknown, Colman Domingo (Sing Sing), Ralph Fiennes (Conclave) dan Sebastian Stan (The Apprentice).

Dalam filem berdurasi lebih tiga jam arahan Brady Corbet, Brody menghidupkan watak fiksyen seorang pendatang Yahudi dari Hungary yang melarikan diri selepas Perang Dunia Kedua.

Brody yang melakonkan watak bernama Laszlo Toth mengejar impian dan misi tersendiri di Amerika Syarikat untuk menjadi seorang arkitek revolusioner.

Brody yang memulakan karier lakonan sejak 1989 berkata, kejayaan diraih ketika ini sebagai puncak kerjaya dan sedia memberi usaha lebih baik pada masa akan datang.

“Memenangi anugerah seperti ini menandakan satu destinasi dan ia adalah sesuatu yang merujuk kepada watak saya dalam filem.

“Ini adalah peluang untuk memulakan semula karier agar 20 tahun akan datang saya dapat membuktikan masih layak untuk peranan yang begitu bermakna, penting dan relevan,” katanya.

Brody memenangi Oscar pertamanya bagi kategori sama kira-kira 22 tahun lalu, melalui peranannya dalam filem The Pianist.

Pada usia 29 tahun, Brody menjadi pelakon termuda yang pernah memenangi kategori berkenaan.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *