SELEPAS kejayaan filem Metro Maalai di peringkat antarabangsa, dua pengarah berbakat, Haran Kaveri dan Shobaan Pillay Nagarajan mempertaruhkan filem kedua berjudul Simple Manusan yang mempunyai tarikan buat penggemar filem Tamil tempatan.
Haran berkata, Simple Manusan yang juga genre ‘dark humor’ mengisahkan seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang gunting rambut yang hidup sunyi dan ingin mencari jodoh.
“Cerita ini bukan adaptasi dari mana-mana filem dari luar negara kerana kami memilih jalan cerita yang asli dengan memaparkan masalah yang berlaku dalam masyarakat India di negara ini.
“Dalam masyarakat India, kalau lelaki itu tidak berkahwin, dia dianggap belum berjaya dalam kehidupannya.
“Sedangkan pada zaman sekarang, perkahwinan bukan berlaku pada semua orang kerana ada yang berkahwin dan ada pula sebaliknya,” katanya pada majlis tayangan filem itu baru-baru ini.
Berkongsi cabaran mengarah filem itu, Haran berkata, ia menjalani penggambaran kira-kira satu setengah tahun yang lalu.
“Sebagai pembikin filem indie, bajet filem ini juga kecil iaitu lebih RM200,000. Kami juga tidak layak untuk mendapat geran Dana Kandungan Digital (DKD) yang dimohon pada 2021.
“Justeru, kami buat filem ini dengan menggunakan wang kutipan dari filem pertama iaitu Metro Maalai serta beberapa penaja dari syarikat kecil.
“Cabaran lain dihadapi ialah untuk mengendalikan pelakon yang ramai iaitu 50 hingga 60 orang di lokasi penggambaran,” katanya.
Ditanya pemilihan pelakon baru, Hindravel Bose melakonkan watak utama dalam filem ini, Haran berkata, pemilihannya menerusi sesi uji bakat.
“Dia adalah bakat baru dan ‘stand up comedian’. Ini juga filem pertamanya. Kami memilihnya kerana percaya dengan bakatnya selepas sesi latihan selama enam bulan,” katanya.
Filem terbitan Comrade Pictures yang mula ditayangkan sejak 20 Februari lalu ini turut menampilkan lakonan Mogan Chandra Dass, Shamini Ramasamy, Braima Sivagnana, Ravi Shanker Arumuga, Prakash Aandavan, Puveneswary Sukumara, Yawanes Robert, Jayshree Vijayan dan Theva Nayadan Anubama Vigneswari.