PELAKON yang dikenali menerusi drama Sweet Dreams, Yuna Rahim, 29, mengakui kehidupan rumah tangganya dan suami, Muhammad Nurakmal Ayub, 29, kini dilengkapi dengan kehadiran cahaya mata lelaki, Muhammad Hud Adyan, lebih sebulan lalu.

Yuna atau nama sebenar, Shafiqah Husna Abdul Rahim berkata, dia juga tidak ada masalah untuk bangun pada waktu tengah malam untuk menyusukan anaknya itu.

“Saya sangat gembira sejak bergelar ibu ketika ini. Contohnya, bangun pada waktu tengah malam untuk memberi susu kerana ia hanya datang sekali sahaja dalam hidup kita.

“Sebab anak kita akan cepat membesar dan momen bangun tengah malam itu tidak akan kekal lama,” katanya.

Berkongsi mengenai anak lagi, kata Yuna, dia juga tidak bimbang untuk menghantar anak ke rumah pengasuh bila kembali berlakon nanti.

“Saya tidak bimbang untuk meninggalkan anak bersama pengasuh bila keluar bekerja kerana ia dalam kalangan ahli keluarga.

“Pada masa sama, berlakon adalah periuk nasi saya sebelum berkahwin,” katanya.

Mengenai suami pula, kata Yuna, suaminya yang juga kru produksi dan pemuzik itu juga sangat memahami kerana mereka sudah pun berbincang mengenai perkara itu sebelum berumah tangga.

“Suami sangat memahami dengan kerjaya saya dalam lakonan sebab dia juga dalam bidang yang sama cuma di belakang tabir produksi,” katanya.

Ditanya perubahan dirinya, kata Yuna, dia mudah tersentuh dari segi emosi selepas bergelar ibu.

“Saya seorang yang sangat kasar dahulu .Tapi sekarang saya berasa jiwa sudah menjadi lembut.

“Saya juga tak boleh tengok berita yang tular mengenai penderaan atau apa sahaja berkaitan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, beralih kepada karier seninya pula, kata Yuna, dia merancang untuk berlakon dalam projek drama pendek, selepas ini.

“Saya juga menghadiri sesi uji bakat bagi pencarian pelakon untuk drama pendek anjuran Just Work Entertainment, baru-baru ini.

“Pada pandangan saya, semua orang suka tengok drama pendek sekarang. Selain itu, drama pendek juga memberi peluang dan ruang kepada semua untuk terbabit sama,” katanya.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *