PELOPOR muzik disko Indonesia era baharu, Diskoria berkongsi keterujaan bakal satu pentas dengan idola mereka yang juga Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid untuk konsert A Time Travel Diskoria With A Special Guest Sheila Majid.

Selepas dua kali berkunjung ke Malaysia, duo Diskoria yang dianggotai Merdi Simanjuntak dan Fadhli Aat ini bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur pada 14 Jun ini.

Berkongsi lanjut mengenai gabungan mantap berkenaan, Merdi Simanjuntak menjelaskan konsert berkenaan adalah kolaborasi pertama Diskoria bersama penyanyi tempatan.

Merdi mengakui kolaborasi bersama Sheila itu turut berjaya membuatkan teman artis di Indonesia cemburu.

“Dari mula kami ditubuhkan sejak 2015 dan sejak single pertama kami Balada Insan Muda, kami sentiasa menerima komen dan sambutan baik dari peminat di sini.

“Jadi, untuk kunjungan ketiga ini apabila dapat berkolaborasi bersama Datuk Sheila Majid, ia macam mimpi menjadi kenyataan.

“Kami sudah lama mahu bekerjasama dengannya, tapi kami tiada peluang, jadi bila peluang ini ditawarkan penganjur, kami sangat bersyukur.

“Kami tidak pernah membuat persembahan bersama, di konsert nanti adalah kolaborasi pertama kami bersama Datuk Sheila dan artis Malaysia,” kata Merdi.

Tambahnya lagi, Malaysia ibarat negara kedua mereka yang mana muzik Diskoria menerima sambutan menggalakkan daripada penggemar muzik.

“Jujurnya kami juga selalu mahu ke sini kerana sambutan di sini menyenangkan. Apa lagi kali ini keseronokan berganda dengan adanya Datuk Sheila.

“Kami teruja sampai sekarang dan harapan kita kami boleh kongsi tenaga dengan peminat yang datang nanti.

“Kalau nak tahu selama lapan tahun ini, saya kali pertama

‘stage dive’ di Kuala Lumpur. Lebih menarik, penonton yang hadir juga memberikan sambutan sangat baik.

“Masih segar momen berkenaan yang mana di Indonesia saya belum pernah lagi ‘stage dive’. Ini sekali gus membuktikan keselesaan kami untuk membuat persembahan di sini,” katanya.

Sementara itu, Fadhli pula sangat berbesar hati konsert ketiga di sini dapat menampilkan sesuatu yang berbeza dari sebelum ini.

Berbicara lanjut mengenai lagu yang bakal dipersembahkan bersama Sheila, Fadhli berkata, mereka belum berkesempatan berbincang dan bertentang mata dengan penyanyi yang popular dengan lagu Sinaran itu.

“Kami hanya bercakap menerusi Google Meet sebelum ini dan kami akan aturkan satu pertemuan untuk latihan nanti. Datuk Sheila ada keselesaannya sendiri, jadi kami akan bincangkan kemudian mengenai lagu-lagunya yang akan kami sampaikan.

“Pastinya ada kejutan, tapi tunggu saja kejutannya nanti. Kami percaya untuk Datuk Sheila nyanyikan lagu Diskoria perlu ada latihan, jadi kalau cukup waktu mungkin kami akan bawakan lagu-lagunya, tapi bergantung.

“Tapi, sekiranya Datuk Sheila dapat rentak kami pada konsert nanti, mungkin selepas konsert nanti kami boleh hasilkan lagu ‘mix’ yang penuh bersamanya,” kata Fadhli sambil memberitahu bakal memaparkan persembahan terbaik di konsert itu selama lebih 90 minit.

Disamping berharap dapat mencipta magis dan membawa masa silam ke dunia masa kini pada persembahan anjuran MY Deteksi dengan kerjasama Sembang Kari Entertainment dan Tourism Malaysia itu.

Ditubuhkan pada 2015, Diskoria dikenali dengan stail unik mereka menerusi muzik tarian. Selain popular dengan lagu seperti Badai Telah Berlalu, Balada Insan Muda, Pelangi Cinta dan Serenata Jiwa Lara.

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *