Kuala Lumpur: Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi yang berada di Indonesia berdepan detik cemas apabila merasai gegaran gempa bumi yang berlaku awal pagi, hari ini.
Menurut Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean Seismological Centre (EMSC), gempa bumi kuat berukuran 7 pada skala Richter melanda kawasan laut dalam ke utara pulau Bali dan Lombok di Indonesia kira-kira jam 2.55 pagi, hari ini.
Heliza, 37, berkata, dia gegaran itu agak lama dan boleh dirasakan kuat di hotel tempat dia dan suaminya, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman menginap.
“Saya tiba-tiba tersedar dari lena sebab daripada penginapan yang kami menginap bergoyang kuat. Mula mula saya ‘blur’ apa yang sedang berlaku. Tapi hotel bergoyang-goyang ke kiri ke kanan, dan gegaran itu agak lama sampai pintu-pintu semua berbunyi!” katanya.
Heliza yang tidak berkongsi butiran lokasi penginapannya hanya diberitahu pihak pengurusan hotel sejurus itu.
“Benda pertama terus capai apa jubah semua untuk tutup aurat dengan sempurna sebab tak tahu apa berlaku. Selepas itu, hubungi hotel (untuk) tanya. Mereka beritahu ada gempa bumi!” katanya.
Heliza turut membuat carian mengenai gempa itu di internet demi mengesahkan memang ia sedang berlaku.
“Doakan semuanya selamat di sini. Setakat ni alhamdulillah,” katanya.
Gempa itu turut dirasai di sekitar kawasan Kuta dan Denpasar di Bali serta Lombok.
Kredit: Harian Metro