Kuala Lumpur: Anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, 64, berhasrat ingin bertemu dengan  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai kontrak royalti 50 tahun arwah bapanya yang sudah tamat sepenuhnya pada 29  Mei lalu.

Sazali berkata, peluang dia bertemu Anuar jika ada rezeki disifatkan sebagai usaha terakhirnya untuk meminta bantuan agar lanjutan kontrak royalti Allahyarham P Ramlee yang dimohonnya sebelum ini dapat diselesaikan.ADVERTISING

“Saya tak tahu mana lagi nak dituju untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak kementerian berkaitan bagi kontrak royalti Allahyarham bapa saya yang tamat pada 29 Mei lalu selepas genap 50 tahun kematiannya untuk mohon dilanjut selama beberapa tahun lagi.

“Sebelum ini, saya pernah berharap masalah kontrak royalti yang sudah tamat itu dapat diselesaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub. Namun, Allah lebih menyayangi dan menjemputnya dulu.

“Apapun, saya percaya setiap masalah ini ada jalan penyelesaian selagi kita berusaha mencari jalan keluar itu. Jadi, saya teringin sangat bertemu dengan Perdana Menteri untuk berbincang hati ke hati dengannya mengenai masalah saya selepas tidak lagi menerima duit royalti P Ramlee mulai tahun depan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sazali, dia juga melihat Anwar sebagai sosok pemimpin negara yang prihatin dan ambil peduli masalah dihadapi penggiat seni. Katanya, apa lagi seniman tersohor seperti Allahyarham bapanya yang banyak menyumbang dan memartabatkan industri seni Malaysia.

“Saya tahu beliau (Anwar) sangat sibuk dengan pelbagai tugas negara yang digalasnya. Tapi, saya harap beliau ada sedikit kelapangan masa untuk saya bertemu dengannya. Saya sangat memerlukan bantuan beliau untuk permohonan lanjutan kontrak royalti ini.

“Dah selalu dijelaskan, saya ini sudah berusia dan mempunyai masalah kesihatan yang tidak membolehkam untuk bekerja lagi. Malah, bukan saya seorang saja yang sakit, tapi isteri, Hamidah Hitam, 61, juga semakin uzur. Bahkan, kami tiada anak dalam perkahwinan.

“Walaupun menerima bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM900, ia tidak mencukup kerana kami berdua perlu membiayai kos rawatan berjadual di hospital di Cheras, Kuala Lumpur.

“Isteri saya juga sudah dinasihatkan oleh doktor agar membuat pembedahan leher segera. Tapi, kami ada masalah kewangan kerana kos pembedahan agak tinggi. Duit royalti yang saya dapat dari Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) ini sekali setahun dan jumlah pun dah tak banyak,” katanya yang mendapat bayaran terakhir pada 31 Julai lalu.

Sazali berkata, kos sara hidup tinggi pada masa kini membuatkannya sangat memerlukan duit kutipan royalti arwah bapanya itu untuk meneruskann kelangsungan hidup terutama bagi pembiayaan kesihatan.

Sebelum ini, Harian Metro beberapa kali melaporkan luahan hati Sazali yang buntu apabila kontrak royalti karya bapanya yang diperoleh daripada MACP selama ini akan tamat tahun ini.

Allahyarham P Ramlee menghembuskan nafas terakhir akibat sakit jantung pada 29 Mei 1973, meninggalkan peminatnya dengan legasi tidak ternilai melalui karya seni filem dan lagu merentas zaman.

Sepanjang tempoh itu, mengikut Akta Hak Cipta 1987, royalti daripada karya lagu P Ramlee diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983.

Royalti kemudian diagihkan kepada

anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti yang diuruskan MACP sebagai badan pengutip royalti berdaftar itu diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *